nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kajang: Tiga sekawan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Jalan Balakong Batu 11 Cheras, di sini, antara 4 hingga 16 Mei lalu.
Ketiga-tiga tertuduh, Chai Guan Cheong, 38; Cheng Kan Loon, 41; dan Koh Kim Yang, 41, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa membunuh Ong Meng Seong, 38, di Jalan Balakong Batu 11 Cheras, di sini, antara 12.04 tengah malam, 4 Mei hingga 11 malam, 16 Mei lalu.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin, manakala tertuduh, Kim Yang diwakili Asyraaf Abu Bakar Hamzah.
Dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kemas kini laporan berkaitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




