am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang hilang selepas Proton Wira dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam Sungai Lubuk Kawah, di sini, malam tadi, diteruskan hari ini.
Operasi mencari mangsa, Mat Yusof Hashim, 77, dari Felda Teloi Timur, Kuala Ketil, Kedah, kini memasuki 13 jam sejak kejadian itu yang berlaku 11.40 malam tadi.
Tinjauan di lokasi mendapati, pasukan bomba giat melakukan pencarian termasuk selaman dan menggunakan bot.
Komander Operasi Kanan Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohd Fadzlie Abu Bakar berkata, bomba menerima panggilan sebuah kereta terbabas ke dalam sungai berkenaan pada 11.46 malam.
Beliau berkata, susulan itu, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya dan tujuh anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Sungai Petani tiba di lokasi.
“Operasi SAR dilakukan di sekitar kenderaan terbabit dengan teknik ‘body rafting’ dan melakukan dua kali selaman masuk ke dalam kereta itu, namun didapati tiada mangsa di dalam kenderaan itu.
“Selepas itu, kita melakukan pencarian di sepanjang sungai sejauh satu kilometer menggunakan bot dan kita turut menempuh pelbagai cabaran seperti kelajuan air, arus deras dan kedalaman air sedalam 1.8 meter.
“Selain itu, anggota bomba turut menghadapi rintangan akibat pelepah sawit dan pokok tumbang di sepanjang sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Mohd Fadzlie berkata, pihaknya turut memohon bantuan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) untuk membantu mencari mangsa.
Beliau berkata, Proton Wira itu berjaya dinaikkan pada 3 pagi tadi dengan bantuan kren.
“Selepas kenderaan itu berjaya dinaikkan, kita dapati cermin kereta sudah pecah dan terdapat hentakan pada kenderaan itu serta ada kesan kemek di bahagian bumbung.
“Kita tidak pasti sama ada mangsa tercampak keluar atau terperangkap ketika kejadian berlaku.
“Setakat ini, tiada petunjuk baharu ditemukan di lokasi dan operasi pencarian akan diteruskan sehingga ke Sungai Muda iaitu sejauh kira-kira dua kilometer, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




