JIM laksana 10,374 operasi tahun ini, tangkap 37,313 PATI

JIM laksana 10,374 operasi tahun ini, tangkap 37,313 PATI

austin@nst.com.my

Putrajaya: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan 10,374 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dan menahan 37,313 pendatang tanpa izin (PATI) antara 1 Januari hingga 29 September tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 137,603 individu diperiksa dalam operasi itu, yang menjadi sebahagian daripada usaha kementerian mempergiatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan imigresen.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan turut disasarkan kepada majikan yang disyaki menggaji atau melindungi PATI.

“Sebanyak 1,809 majikan ditangkap, dengan majoriti besar iaitu 1,692 daripadanya adalah warganegara Malaysia yang bersubahat menggaji dan melindungi PATI,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Saifuddin berkata, angka-angka itu mencerminkan pendekatan kementerian yang bukan sahaja menyasarkan PATI, malah pihak yang menggaji, melindungi atau memudahkan kehadiran mereka.

Beliau berkata, jumlah tangkapan majikan meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini, daripada 346 pada 2023 kepada 1,859 pada 2024, dan 2,202 pada 2025.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, seramai 1,809 majikan ditahan.

“Penguatkuasaan tidak boleh hanya tertumpu kepada PATI, tetapi mesti turut sampai kepada pihak yang menggaji, melindungi dan mengambil kesempatan daripada kewujudan mereka,” katanya.

Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan di seluruh negara secara harian.

Beliau menyifatkan kehadiran PATI sebagai masalah berpanjangan, yang pada pandangannya, diburukkan lagi oleh kelemahan dan ketirisan dalam sistem pentadbiran terdahulu yang dieksploitasi oleh sindiket serta majikan yang tidak bertanggungjawab.

Saifuddin berkata, beliau mahu kementerian dan pihak Imigresen mengamalkan pendekatan penguatkuasaan yang proaktif, dan bukannya sekadar bertindak balas apabila kes-kes tertentu mendapat perhatian umum.

“Ini bukanlah penguatkuasaan bermusim dan ia tidak hanya dilaksanakan apabila sesuatu isu menjadi tumpuan perhatian.

“Tanpa mengira siapa atau apa kedudukan mereka, KDN dan JIM akan terus memutuskan rantaian disalah guna ini demi memelihara kedaulatan dan keselamatan tanah air,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada warga asing yang memasuki Malaysia supaya menggunakan saluran sah dan mematuhi undang-undang imigresen, sambil menegaskan bahawa tindakan akan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam kemasukan secara haram, pemalsuan dokumen atau tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Dalam pada itu, majikan diberi amaran supaya tidak menggaji atau melindungi PATI demi keuntungan kewangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top