Ahli Parlimen PKR diingatkan sentiasa pegang mandat parti – Fuziah

Ahli Parlimen PKR diingatkan sentiasa pegang mandat parti – Fuziah

KUANTAN – Ahli Parlimen PKR diingatkan supaya sentiasa berpegang kepada mandat parti dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh.

Beliau berkata, setiap wakil rakyat perlu mematuhi ketetapan parti serta membawa prinsip perjuangan yang telah diamanahkan kepada mereka.

“Mereka bukan saja berkhidmat untuk kawasan pilihan raya, tetapi mewakili parti dan seharusnya membawa prinsip perjuangan itu, bukannya mempromosikan parti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Madani Mart, Cawangan Jalan Dato’ Wong Ah Jang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum di sini pada Jumaat.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengulas mengenai kehadiran beberapa Ahli Parlimen ke program anjuran kepimpinan parti lain serta siri jelajah dalaman baru-baru ini.

Beliau berkata, beberapa pemimpin telah ditugaskan untuk berhubung serta memberikan nasihat kepada Ahli Parlimen yang terlibat mengenai tanggungjawab mereka yang membawa mandat parti.

“Ini nasihat kepimpinan kepada mereka, setakat ini kita menghormati mereka sebagai Ahli Parlimen…bukan setakat berkhidmat kepada rakyat, tetapi wakil parti itu penting. 

“Di Parlimen nanti nak undi dan sebagainya, harus berpegang dengan apa yang ditetapkan oleh parti,” katanya.- Bernama 

Scroll to Top