
Ramanan (kiri) dan Mukhtarudin ketika kunjungan hormat di Kesuma, Putrakjaya pada Jumaat. Foto: Facebook Ramanan Ramakrishnan Official Media
SHAH ALAM – Malaysia dan Indonesia terus memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam aspek pengurusan, perlindungan serta pembangunan tenaga kerja melibatkan rakyat Indonesia di negara ini.
Perkara tersebut dibincangkan dalam kunjungan hormat Menteri Pelindungan Pekerja Migran Indonesia, Mukhtarudin bersama delegasinya ke pejabat Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) pada Jumaat.
Ramanan berkata, hubungan erat antara kedua-dua negara serantau itu amat penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan selain memperkukuh kesejahteraan dan kebajikan pekerja.
“Malaysia dan Indonesia merupakan negara jiran serta rakan strategik di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Hubungan dua hala yang sekian lama terjalin mencerminkan kerjasama menyeluruh yang kukuh merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan, tenaga kerja dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata, hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia diharap terus diperkukuh demi kemakmuran bersama serta manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.



