MSN jelaskan penamatan kontrak jurulatih tinju Thailand ikut prosedur

MSN jelaskan penamatan kontrak jurulatih tinju Thailand ikut prosedur
MSN jelaskan penamatan kontrak jurulatih tinju Thailand ikut prosedur

Iruan menafikan dakwaan Keattisak dan menyifatkannya sebagai fitnah yang boleh menjejaskan reputasi badan induk berkenaan. Foto Bernama

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menegaskan proses penamatan kontrak serta penyelarasan pembayaran gaji melibatkan jurulatih tinju dari Thailand, Keattisak Teankam, dilaksanakan mengikut prosedur dan tatakelola ditetapkan, termasuk menanggung kos tiket penerbangan pulang ke Thailand.

MSN dalam kenyataan pada Jumaat turut menjelaskan pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan sebarang dakwaan yang tular di media sosial, selain menegaskan penyelesaian isu berbangkit adalah di bawah tanggungjawab Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) serta pihak berkuasa berkaitan.

Menurut MSN, Keattisak sebelum ini dilantik sebagai Jurulatih Program Pelapis Kebangsaan di bawah kontrak MSN bermula 31 Julai 2025 hingga 31 Disember 2026 dengan gaji bulanan RM8,800.

Bagaimanapun, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) MSN dan PTM pada 5 Mac lepas memutuskan untuk memendekkan tempoh kontrak beliau sehingga Julai ini susulan penstrukturan semula program latihan tinju daripada Program Podium Sepenuh Masa kepada Program Podium Berfasa.

MSN berkata, ia berharap isu tular berkenaan tidak menjejaskan fokus serta persediaan atlet tinju negara yang kini giat menjalani latihan bagi menghadapi Sukan SEA Malaysia 2027.

“MSN kekal komited untuk memastikan setiap urusan melibatkan atlet, pegawai dan jurulatih dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan Keattisak yang mendakwa beliau diarahkan memindahkan wang ke akaun pegawai PTM serta dakwaan salah guna kuasa membabitkan presiden badan induk itu, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli.

Bagaimanapun, Mohamad Iruan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak benar, tidak berasas dan fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta integritinya. – Bernama

Scroll to Top