PETALING JAYA – Kehadiran lebih 900 peserta dari 16 negara dan wilayah bakal memeriahkan Kejohanan Boling Antarabangsa Junior All-Stars Bawah 22 Tahun (B-22) MILO STORM edisi ke-26 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, dari 1 hingga 13 Disember ini.Menariknya, kejohanan kali ini bukan sekadar medan perebutan gelaran, malah menghimpunkan barisan juara bertahan, bekas pemenang serta bakat muda yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa.Dalam acara ‘Boys Open’, juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Soo Han dijangka berdepan cabaran sengit pemegang pingat perak tahun lalu, Shaqeem Izwan Teh yang pastinya mahu menebus kekecewaan selepas terlepas gelaran pada edisi Jubli Perak.Bagi ‘Girls Open’, wakil Sarawak, Lavinia Kho yang mempertahankan kejuaraan pula bakal mendapat tentangan daripada dua bekas juara, Adelia Nur Irwan Syazalee dan pemain Singapura, Hazel Tan.Adelia yang muncul juara pada 2023 mahu merampas semula gelaran selepas menamatkan saingan di tempat kedua tahun lalu, manakala Hazel yang menjuarai edisi 2024 berpeluang mengulangi persaingan dengan wakil negara, Adania Mohd Redzwan yang ditewaskannya dalam final tangga pada tahun berkenaan.Kedua-dua pemain negara itu turut hadir dengan reputasi membanggakan selepas bergandingan meraih emas beregu perempuan pada Kejohanan Boling Remaja Dunia IBF di Kuching, Julai lalu, sebelum membantu Malaysia menjuarai acara berpasukan campuran bersama Ethan Damien Goh dan Muhammad Aiman Syahin Sulaiman.Adelia turut menambah koleksi kejayaannya apabila meraih emas beregu wanita bersama Nur Syazwani Sahar pada Kejohanan Boling Tenpin Asia yang sedang berlangsung di Doha, Qatar.Cabaran Malaysia dalam ‘Boys Open’ pula diperkuatkan kehadiran juara dunia remaja, Ethan dan Aiman yang pernah bergandingan memenangi emas beregu lelaki pada Kejohanan Remaja Asia tahun lalu bersama Izz Naqiuddin Putera Islahuddin.Sementara itu, Helena Jamal turut menjadi antara sandaran negara dalam Girls Open selepas mempamerkan prestasi cemerlang pada Kejohanan Remaja Asia di Jakarta, Ogos lalu dengan meraih dua emas menerusi acara beregu dan semua acara serta perak berpasukan.Persaingan antarabangsa turut dijangka sengit dengan kehadiran juara Piala Dunia dari Hong Kong, Jovi Ma yang memenangi emas perseorangan lelaki pada kejohanan di Munich, Jerman, bulan lalu selain muncul juara Masters lelaki pada Kejohanan Remaja Asia di Jakarta, Ogos lalu.Turut mencuri perhatian ialah rakan senegaranya, Dylan Lam yang memenangi emas semua acara lelaki di Jakarta, manakala Singapura mempertaruhkan dua juara remaja Asia, Hazel dan Lim Shi En yang masing-masing pernah memenangi emas perseorangan perempuan dan semua acara pada edisi tahun lalu.Pengarah Sunway Mega Lanes, Foong Tak Meng berkata, penganjuran edisi ke-26 itu membuktikan kejohanan berkenaan terus menjadi platform penting dalam membangunkan bakat muda serta menyediakan pendedahan pertandingan bertaraf antarabangsa.”Sepanjang penganjuran kejohanan ini, kita menyaksikan ramai pemain muda yang pernah mengambil bahagian berjaya melakar pencapaian membanggakan di peringkat tertinggi.”Itulah sesuatu yang amat kami banggakan kerana usaha melahirkan juara masa depan sentiasa menjadi matlamat utama penganjuran kejohanan ini,” katanya.Selain acara utama, kejohanan itu turut menyediakan kategori B-12, B-15, ‘Open’, ‘Graded’ dan ‘Super Junior’ yang kembali untuk tahun kedua selepas diperkenalkan pada edisi Jubli Perak tahun lalu.Kategori Super Junior yang terbuka kepada pemain berusia 29 tahun ke bawah turut menarik penyertaan beberapa pemain kebangsaan berpengalaman termasuk juara dunia 2018, Rafiq Ismail, Syazirol Shamsuddin, Hafiz Zainuddin, Gillian Lim, Nur Hazirah Ramli, Nora Lyana Nastasia Norkamal dan Nur Syazwani Sahar.Kejohanan menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai RM265,800 dengan juara ‘Boys Open’ membawa pulang RM30,000, manakala pemenang ‘Girls Open’ menerima RM18,000. Saingan akan melabuhkan tirai menerusi final ‘Graded’ pada 12 Disember, diikuti penentuan kejuaraan ‘Boys Open’, ‘Girls Open’ dan ‘Super Junior’ keesokannya.
Lebih 900 peserta buru gelaran Kejohanan Boling Antarabangsa Junior di Sunway
Malay News | https://www.malay.news/lebih-900-peserta-buru-gelaran-kejohanan-boling-antarabangsa-junior-di-sunway/