Alex Marquez terlepas dua GP

Alex Marquez terlepas dua GP

BARCELONA: Pelumba Gresini Racing, Alex Marquez terlepas dua perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Grand Prix (GP) Catalunya pada minggu lalu.

Gresini Racing mengesahkan Marquez  tidak akan beraksi pada GP Itali di Mugello serta GP Hungary di Balaton Park susulan kecederaan serius dialaminya di Barcelona.

Marquez terbabit dalam pelanggaran ngeri dengan pelumba KTM, Pedro Acosta pada pusingan ke-12 selepas jentera Acosta hilang kuasa akibat masalah elektrik di laluan lurus utama.

Situasi tersebut menyebabkan Marquez gagal mengelak sebelum merempuh motosikal di hadapannya lalu tercampak ke tepi litar dalam insiden yang menggemparkan paddock MotoGP.

Pelumba Sepanyol itu kemudian dikejarkan ke hospital sebelum disahkan mengalami beberapa keretakan tulang dan menjalani pembedahan pada malam sama sebelum dibenarkan keluar sehari kemudian.

“Semuanya terkawal dan saya menerima rawatan yang baik,” kata Marquez selepas menjalani pembedahan susulan kemalangan tersebut.

Setakat ini, Gresini masih belum memutuskan siapa yang bakal menggantikan Marquez untuk dua perlumbaan itu dengan pelumba ujian Ducati, Michele Pirro serta bekas pelumba Ducati, Andrea Iannone antara nama yang mula disebut-sebut.

Ketiadaan Marquez dijangka memberi kesan besar kepada kem Gresini ketika musim MotoGP 2026 semakin panas, lebih-lebih lagi selepas pasukan itu turut berdepan ketidakpastian mengenai kecergasan abang kandungnya, Marc Marquez. – AGENSI

Scroll to Top