Polis tahan 41 lelaki, rampasan RM114,211 kerana judi sabung ayam

Polis tahan 41 lelaki, rampasan RM114,211 kerana judi sabung ayam

am@hmetro.com.my

Ipoh: Seramai 41 lelaki ditahan, selain pelbagai barangan serta wang berjumlah RM114,211 dirampas dalam serbuan membabitkan kegiatan judi sabung ayam di sebuah pondok di kebun durian di Papan, dekat Batu Gajah semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan pada 7 malam itu diketuai Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan bantuan Bahagian D9 JSJ IPK Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Batu Gajah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak.

Individu ditahan membabitkan 40 lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia.

“Antara yang ditahan adalah lelaki berusia 50 tahun yang mengaku sebagai penganjur dan pemilik premis, selain dua individu lain yang dipercayai bertindak sebagai pengadil dan pembantu penganjur.

“Kegiatan itu beroperasi sejak awal tahun ini dengan kadar pertaruhan mencecah sehingga RM20,000 bagi satu pusingan,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Alwi menegaskan, PDRM Kontinjen Perak tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti perjudian haram serta penganiayaan haiwan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top