MONTREAL: Jaguh Formula Satu (F1), Lewis Hamilton belum terfikir untuk bersara meskipun terus dihimpit spekulasi mengenai masa depannya bersama Ferrari.
Juara dunia tujuh kali itu berkata, kontraknya bersama Ferrari tamat pada 2027, sekali gus menepis dakwaan kononnya dia bakal meninggalkan sukan tersebut dalam masa terdekat.
“Saya masih mempunyai kontrak dan semuanya sangat jelas buat saya ketika ini.
“Saya masih fokus, masih bermotivasi dan masih mencintai apa yang saya lakukan sepenuh hati, jadi biasakan diri kerana saya akan berada di sini untuk tempoh yang lama lagi,” kata Hamilton.
Hamilton turut mendakwa ada pihak ‘memaksanya bersara’ hanya kerana dia masih belum memenangi perlumbaan bersama Ferrari sejak menyertai pasukan itu dari Mercedes tahun lalu.
Menurut pelumba Britain itu, kejayaan bukan semata-mata diukur berdasarkan kemenangan atau podium, sebaliknya lebih kepada perkembangan yang dicapai sepanjang musim.
“Ramai orang cuba paksa saya bersara, tetapi perkara itu langsung tidak pernah berada dalam fikiran saya.
“Bagi saya, selagi masih ada perkembangan dan peningkatan, itu sudah dianggap kejayaan walaupun orang luar hanya melihat keputusan perlumbaan semata-mata,” katanya.
Hamilton yang memegang rekod 105 kemenangan dan 104 petak utama turut mendedahkan dia mengubah pendekatan menjelang Grand Prix (GP) Kanada apabila memilih untuk tidak menggunakan simulator Ferrari di Maranello.
“Saya rasa kadang-kadang simulator membuatkan keadaan jadi bercelaru kerana apa yang kita rasa sesuai di sana tidak semestinya sama apabila tiba di litar sebenar.
“Sebab itu kali ini saya memilih untuk lebih fokus kepada data dan memahami kereta dengan lebih baik,” katanya. – AGENSI




