Gelojoh makan stimbot panas, wanita derita ulser pada saluran esofagus

Gelojoh makan stimbot panas, wanita derita ulser pada saluran esofagus

Changsha: Seorang wanita mengalami ulser sepanjang lapan sentimeter (cm) pada saluran esofagusnya selepas makan hidangan stimbot (hotpot) dengan terlalu cepat, lapor South China Morning Post.

Kejadian yang menimpa mangsa yang dikenali sebagai Wang berusia 42 tahun itu mendorong doktor mengeluarkan amaran mengenai risiko tabiat pemakanan yang tidak betul.

Wang yang berasal dari Changsha di wilayah Hunan, tengah China, disahkan menghidap ulser berkenaan selepas menelan makanan panas secara tergesa-gesa ketika menikmati hidangan stimbot bersama rakan-rakannya pada Mac.

Oleh sebab terlalu lapar dan leka berbual, Wang tidak menunggu makanan diambilnya dari dalam periuk stimbot itu sejuk terlebih dahulu sebelum memakannya.

Tidak lama selepas itu, dia merasakan dadanya menjadi sempit dan meminum air ais dalam kuantiti banyak untuk mengurangkan kesakitan sebelum berasa lega.

Bagaimanapun, Wang mengalami kesakitan teruk pada bahagian berkenaan walaupun hanya ketika menelan air kosong pada keesokan harinya.

Pemeriksaan lanjut di Hospital Kelapan Changsha mendapati terdapat ulser esofagus berukuran lapan cm iaitu hampir satu pertiga daripada saiz esofagus orang dewasa.

Pakar perubatan di hospital berkenaan, Dr Wu Xiaoqing menjelaskan bahawa esofagus manusia hanya mampu bertahan pada suhu makanan sekitar 50 hingga 60 darjah Celsius sahaja.

Makanan yang baru sahaja dikeluarkan daripada periuk stimbot sebaliknya boleh mencecah suhu setinggi 80 hingga 90 darjah Celsius yang berpotensi membakar mukosa esofagus.

Dr Wu turut memberi amaran bahawa tabiat biasa masyarakat yang meminum air sejuk ketika menikmati stimbot kononnya untuk meneutralkan kepanasan sebenarnya boleh merangsang esofagus dan merosakkan mukosanya.

Ketika ini, China mencatatkan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan kes kanser esofagus di peringkat global dan antara faktor penyumbang utama adalah kecenderungan penduduknya yang gemar menikmati makanan pada suhu terlalu panas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top