
Anwar sempat berbual mesra dan bertanya khabar dengan Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay dan memaklumkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak BRICS.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sempat berbual mesra dan bertanya khabar dengan Ketua Menteri Tamil Nadu, C. Joseph Vijay.
Selain itu, Ahli Parlimen Tambun itu juga memaklumkan mengenai rancangan beliau ke India pada September ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS.
Anwar berkata, beliau sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Vijay atas amanah besar yang sedang digalas oleh pemimpin itu demi rakyat Tamil Nadu.
“Saya turut maklumkan akan ke India pada September nanti bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS serta mengadakan pertemuan dengan PM Modi (Perdana Menteri India Narendra Modi) dan jika ada kesempatan, akan mengadakan kunjungan singkat ke Tamil Nadu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mendoakan agar Vijay terus diberikan kekuatan dan hikmah untuk memimpin serta mentadbir dengan baik demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Tamil Nadu.
Pada 12 Mei lepas, Perdana Menteri menzahirkan ucapan tahniah kepada sahabatnya itu, yang juga ikon perfileman India Selatan atas pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selain menyatakan keterujaan untuk menjalinkan kerjasama erat dengan pemimpin berkenaan pada masa akan datang.
Vijay, 52, yang beralih daripada kerjaya lakonan prolifik kepada politik sepenuh masa, memimpin parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) yang meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri.- Bernama



