Izzah Mahu Gegar Dunia

Izzah Mahu Gegar Dunia

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penubuhan Team Cahya Mata dilihat mampu menjadi pemangkin penting buat pelumba berbasikal trek wanita negara memburu mata kelayakan ke Olimpik Los Angeles 2028 menerusi lebih banyak penyertaan di kejohanan antarabangsa.

Pelumba negara yang juga dikenali dengan julukan The Pocketrocket Women, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berkata, penajaan diterima membuka peluang besar buat pasukan itu mendapatkan lebih banyak pendedahan serta pengalaman bersaing di luar negara.

Katanya, peluang menyertai kejohanan bertaraf tinggi amat penting bagi membantu pelumba meningkatkan keyakinan dan kematangan ketika berdepan pertandingan besar.

“Memang terima kasih kepada Cahya Mata sebab beri lebih banyak peluang untuk kami berlumba bersama sebagai satu pasukan.

“Kami boleh dapat lebih banyak pendedahan dan pengalaman. Itu peluang yang sangat besar untuk kami dan kami akan buat yang terbaik,” katanya selepas majlis pelancaran Team Cahya Mata di sini, hari ini.

Nurul Izzah berkata, pasukan itu dijangka menyertai lebih banyak perlumbaan berstatus Class 1 dan Class 2 termasuk kejohanan siri Piala Trek yang menawarkan mata penting ke arah kelayakan Piala Dunia dan Olimpik yang akan bermula tahun depan.

Beliau berkata, pertandingan yang kerap amat diperlukan bagi memastikan pelumba dapat mengekalkan momentum selain membina keyakinan dalam perlumbaan kompetitif.

“Bagi saya, pertandingan memang penting sebab kita tak boleh belajar pengalaman perlumbaan hanya menerusi latihan.

“Saya rasa sekurang-kurangnya satu pertandingan setiap bulan sudah cukup baik untuk bantu kami kekalkan prestasi dan tambah keyakinan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Berbasikal, John Beasley menyifatkan kerjasama bersama Cahya Mata sebagai elemen penting untuk memastikan pembangunan berbasikal trek wanita negara terus berkembang.

Menurutnya, sokongan sektor korporat amat diperlukan kerana peruntukan kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk menyediakan program pembangunan lengkap buat atlet.

“Kerjasama seperti ini sangat penting jika kita mahu program ini terus bergerak ke depan.

“Atlet hanya boleh belajar taktikal dan kemahiran perlumbaan menerusi pertandingan sebenar, bukan latihan semata-mata. Jika mereka tidak diberi pendedahan, mereka sukar untuk berkembang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top