
Ahmad (tengah) menyerahkan sijil kepada peserta Liga Sukan Komuniti di Stadium Futsal Bandar Baru Pontian pada Sabtu.
JOHOR BAHRU – Keyakinan anak muda terhadap kepimpinan negeri terutama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi antara faktor utama peningkatan keahlian UMNO di Johor ketika ini.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Johor sememangnya mempunyai jumlah ahli UMNO yang ramai sejak dahulu lagi selain dipengaruhi faktor keluarga yang sudah lama bersama UMNO.
“Generasi baharu percaya dengan kerajaan negeri di bawah pimpinan orang muda iaitu Onn Hafiz.
“Selain itu, sifat terbuka UMNO menerima tokoh- tokoh seperti Datuk Seri Hishammuddin Husein turut menarik anak muda,” katanya selepas merasmikan Liga Sukan Komuniti di Stadium Futsal Bandar Baru Pontian di sini pada Sabtu.
Katanya, usaha 26 UMNO bahagian di seluruh negeri dalam menarik ahli baharu juga menjadi penyumbang kepada pertambahan keahlian.
Beliau turut memuji kerja keras dilakukan Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali yang disifatkan antara paling aktif dalam usaha menambah keahlian baharu di Johor.
Berdasarkan laporan terkini, momentum penerimaan ahli baharu ini menunjukkan Johor mendahului negeri-negeri lain dalam pendaftaran secara dalam talian sejak dibuka pada 20 April lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu menerima hampir 14,000 ahli baharu dengan Johor paling tinggi pada setakat 2 Mei lalu.



