Pejabat Pos Besar Lama di Bangunan Sultan Abdul Samad dibuka semula

Pejabat Pos Besar Lama di Bangunan Sultan Abdul Samad dibuka semula

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) merekod satu lagi pencapaian dengan pembukaan semula Pejabat Pos Besar Lama (PPBL) iaitu Blok 2 Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS), hari ini.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menghidupkan kembali warisan bersejarah ibu negara di bawah inisiatif Dana Warisan serta Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL).

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pembukaan PPBL menandakan kejayaan projek pemuliharaan warisan yang ketiga oleh Khazanah di ibu negara selepas pembukaan semula BSAS Blok 1 dan Seri Negara.

“Pembukaan semula Pejabat Pos Besar Lama mencerminkan komitmen Khazanah untuk memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur bukan sahaja sebagai hab perhubungan, tetapi juga sebagai destinasi yang mempunyai identitinya tersendiri.

“Melalui pemuliharaan aset warisan, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa akan terus meneroka bandar raya ini.

“Ia sekali gus menyokong aktiviti ekonomi tempatan, memperkukuh identiti budaya negara dan merancakkan ekosistem pelancongan serta ekonomi bandar selaras tonggak Kesalinghubungan dalam Strategi Pelaburan Malaysia Khazanah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam Majlis Perasmian Penyempurnaan Pemuliharaan PPBL BSAS (Fasa 2), di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hannah Yeoh. Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Amirul berkata, PPBL memperlihatkan warisan boleh menjadi relevan, inklusif dan mampan untuk generasi masa kini dan akan datang.

Katanya, ia berteraskan kekayaan tradisi kulinari Malaysia termasuk elemen warisan budaya yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“PPBL yang dahulunya Pejabat Pos Besar utama Kuala Lumpur kini dihidupkan semula sebagai destinasi kulinari berteraskan warisan yang meraikan kepelbagaian tradisi makanan Malaysia.

“Antara tarikan utama ialah pengiktirafan ‘Budaya Sarapan Malaysia’ oleh UNESCO Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity pada Disember 2024.

“Ruang ini menghimpunkan lapan jenama tempatan terpilih Niko Neko, A Piece of Malaysia (APOM), Oriental Kopi, Tannin Hill, Banglo 289, Saudagar, Ruai dan Kongsi Kreatif.

“Ia bagi menawarkan pengalaman yang menggabungkan makanan, budaya dan komuniti dalam suasana lebih terbuka dan mudah dikunjungi,” katanya.

Ruang Awam Inklusif Berteraskan Sejarah dan Warisan Negara PPBL direka pada 1902 oleh Arthur Benison Hubback yang ketika itu Penolong Arkitek Jabatan Kerja Raya Persekutuan dan mula beroperasi pada Julai 1907.

Sebahagian besar abad ke-20, bangunan ini berfungsi sebagai Pejabat Pos Besar utama Kuala Lumpur yang menempatkan kaunter perkhidmatan pos, fasiliti pengasingan surat, perkhidmatan telegraf, Bank Simpanan dan Pejabat Akaun Pusat selain menjadi pusat pentadbiran operasi pos.

Seiring dengan perkembangan sistem perkhidmatan pos negara, beberapa fungsi bangunan ini kemudiannya dipindahkan termasuk operasi utama pos yang berpindah ke Kompleks Dayabumi pada pertengahan 1980.

Dari 1990, bangunan ini memasuki fasa penggunaan baharu apabila dijadikan ruang tambahan bagi institusi kehakiman termasuk Mahkamah Rayuan.

Bangunan ini seterusnya diadaptasikan sebagai sebahagian daripada kompleks mahkamah yang lebih luas dengan pembinaan jambatan sekitar 1990.

Ia bagi menghubungkan bangunan itu dengan Bangunan Sultan Abdul Samad merentasi Jalan Mahkamah Tinggi.

Selepas fungsi kehakiman dipindahkan sepenuhnya pada 2007, bangunan ini digunakan oleh pelbagai agensi kerajaan sebelum diambil alih oleh Aset Warisan Empat Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat tujuan khas milik Khazanah dengan kerja pemuliharaan dimulakan seawal Februari 2025.

Sebahagian daripada inisiatif Warisan KL, Khazanah dipertanggungjawabkan untuk memelihara dan menghidupkan semula lapan bangunan bersejarah utama negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top