London: Tujuh pelarian Afghanistan dituduh menjadi sebahagian daripada kumpulan antun seksual dan didakwa atas kesalahan rogol serta penderaan seks kanak-kanak, kata polis United Kingdom (UK), lapor PA Media/dpa.
Tujuh lelaki itu didakwa sebagai sebahagian siasatan ke atas eksploitasi seksual kanak-kanak berasaskan kumpulan di Norwich, di Timur England, menurut Polis Norfolk.
Mereka dituduh melakukan kesalahan seksual antara Ogos 2023 dan Mei 2025, tambah pasukan itu.
Polis berkata lima daripada lelaki itu memasuki negara tersebut dengan bot kecil, seorang bersembunyi di dalam lori dan yang ketujuh cuba memasuki UK secara rahsia melalui pelabuhan feri Portsmouth.
Warga Afghanistan itu hadir di hadapan Mahkamah Majistret Norwich pada Jumaat.
Seorang pegawai perkhidmatan mahkamah berkata kesemua tujuh defendan ditahan reman hingga perbicaraan pengakuan di Mahkamah Norwich Crown pada 19 Jun.
Superintendan Craig Miller berkata: “Saya tahu berita ini akan mengejutkan komuniti kita.
“Kes seperti ini sangat mengecewakan, dan saya mahu mereka yang tinggal dan bekerja di Norwich, serta komuniti Norfolk, tahu bahawa kami akan melakukan segala yang mungkin untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan eksploitasi.”
Pihak pendakwaan Crown Prosecution Service (CPS) berkata, defendan, kesemuanya berusia lingkungan 20-an, didakwa dengan jenayah termasuk rogol, pemerdagangan manusia dan konspirasi untuk melakukan penderaan seksual kanak-kanak.
Polis Norfolk berkata pegawai menyerbu tujuh alamat pada Rabu, enam di Norwich dan satu di Dumbarton, Scotland, membawa kepada tujuh tangkapan.
Polis Ireland (An Garda Siochana) menahan suspek kelapan di Ireland pada pagi Jumaat. Ini akan disusuli proses undang-undang untuk penghantaran pulang lelaki berusia 19 tahun itu ke UK, kata Polis Norfolk.
Pertuduhan berkenaan membabitkan dua mangsa, yang berumur dalam lingkungan awal hingga pertengahan remaja pada masa kesalahan didakwa berlaku, menurut pasukan itu.
Menurut Polis Norfolk tiada seorang pun daripada lelaki yang didakwa itu pernah tinggal di hotel suaka di Norfolk dan tiada satu pun kesalahan yang didakwa berlaku di hotel suaka.
Pasukan itu berkata “penyiasatan yang rumit dan sensitif” bermula pada September 2023 berikutan pendedahan daripada seorang gadis muda.
United Kingdom, Norwich, pelarian Afghanistan, kumpulan antun seksual
© New Straits Times Press (M) Bhd




