Lelaki memandu lawan arus ditahan, disahkan positif dadah

Lelaki memandu lawan arus ditahan, disahkan positif dadah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang dipercayai memandu kereta secara melawan arus di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini seperti video tular di media sosial, sudah ditahan polis.

Difahamkan, kejadian berlaku pada jam 12.48 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan bersabit kes trafik.

Katanya, ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif positif amphetamine dan methamphetamine.

“Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1985 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok dan kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut.

Terdahulu, video memaparkan sebuah kereta dipandu secara melawan arus ketika trafik agak sibuk sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain, tular di media sosial.

Tindakan pemandu berkenaan turut menyebabkan beberapa kenderaan lain terpaksa memperlahankan kenderaan masing-masing supaya tidak berlaku kemalangan.

Kereta berkenaan kemudian dilihat membelok masuk ke jalan seberang secara tiba-tiba dan tindakan itu juga berbahaya kepada pengguna jalan raya di laluan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top