lizamridzuan@hmetro.com.my
PENGANJURAN edisi ketujuh Malaysia Commercial Vehicle Exhibition (MCVE) 2026 menyaksikan dua pemain industri kenderaan komersial, JAC Auto (Malaysia) dan Angka-Tan Motor (ATM), memperkenalkan trak tugasan ringan generasi baharu yang memberi tumpuan terhadap kecekapan operasi, keselamatan serta keperluan logistik moden. JAC memperkenalkan model JAC N90, manakala ATM melancarkan Foton Aumark S Euro 5 AMT.
Pelancaran kedua-dua model berlangsung sempena acara itu di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Seri Kembangan, yang dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sekali gus mencerminkan perkembangan pesat sektor pengangkutan komersial negara yang semakin menuntut penyelesaian lebih cekap dan berteknologi tinggi.
JAC N90 dibangunkan untuk memenuhi pelbagai keperluan komersial termasuk logistik bandar, kerja pembinaan dan penghantaran jarak jauh dengan Gross Vehicle Mass (GVM) 7.5 tan. Ia turut menawarkan pilihan jarak roda antara 3,365mm hingga 4,800mm bagi menyesuaikan pelbagai jenis badan termasuk kotak kargo dan unit peti sejuk.
Pada masa sama, Foton Aumark S Euro 5 AMT pula diperkenalkan sebagai trak tugas ringan jenama China pertama di Malaysia yang dilengkapi transmisi Automated Manual Transmission (AMT), sekali gus memberi kelebihan dari aspek pertukaran gear lebih lancar, penjimatan bahan api dan mengurangkan keletihan pemandu terutama dalam operasi bandar yang kerap berhenti dan bergerak.
Daripada aspek prestasi, JAC N90 dijana enjin Cummins B4.5 Euro 5 bersama transmisi Eaton-Fuller ESO-6106A yang menghasilkan kuasa maksimum 160PS dan tork puncak 540 Nm. Gabungan itu membantu meningkatkan prestasi serta kecekapan bahan api terutama pada kelajuan lebuh raya.
Foton Aumark S Euro 5 AMT pula menggunakan enjin Cummins ISF 3.8-liter Euro 5 yang menghasilkan 154 PS dan 500 Nm tork, dipadankan bersama transmisi enam-kelajuan ZF AMT bagi memastikan operasi lebih cekap selain mengurangkan kos penyelenggaraan melalui sela servis lebih panjang.
Bagi keselesaan pemandu, JAC N90 hadir dengan kabin generasi baharu yang dilengkapi tempat duduk suspensi udara, perehat lengan boleh laras serta skrin sentuh multimedia 10.4 inci bersama kluster instrumen LCD bagi meningkatkan kemudahan dan pengalaman pemanduan.
Aspek keselamatan turut menjadi fokus kedua-dua pengeluar apabila JAC N90 dan Foton Aumark S masing-masing dilengkapi ciri seperti Anti-lock Braking System (ABS), Hill Start Assist (HAS), sistem kawalan kestabilan serta kawalan cengkaman bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam pelbagai situasi jalan raya. Foton turut dibina mengikut piawaian ECE R29 bagi perlindungan kabin lebih baik.
Pengurus Besar JAC International, Oscar Yu berkata, pengenalan N90 mencerminkan komitmen syarikat dalam menyediakan kenderaan komersial berprestasi tinggi dan teknologi maju, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Berhad, James Tan berkata pelancaran Foton Aumark S Euro 5 AMT menunjukkan usaha berterusan menyediakan penyelesaian praktikal kepada industri logistik tempatan.
JAC N90 ditawarkan pada harga RM118,000 bagi casis kosong dengan jaminan enam tahun atau 300,000 kilometer, manakala Foton Aumark S Euro 5 AMT dijual pada harga RM128,800 bersama jaminan tempoh sama. Kedua-dua pelancaran itu mencerminkan persaingan semakin sengit dalam segmen trak tugasan ringan apabila pengeluar mula memberi penekanan terhadap teknologi, keselamatan dan kos pemilikan yang lebih kompetitif untuk pasaran Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




