Pandan kini Parlimen angkat Anwar, Tengku Zafrul pegawai pemantau

Pandan kini Parlimen angkat Anwar, Tengku Zafrul pegawai pemantau

KUALA LUMPUR: Kawasan Pandan kini menjadi Parlimen angkat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari ketika mengumumkan perkara itu berkata, Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pula diberi tanggungjawab sebagai pegawai pemantau PKR di Parlimen Pandan.

Katanya, urusan pengurusan dan pemantauan di kawasan Ampang serta Pandan akan terus diperkukuh bagi memastikan kelancaran pentadbiran, penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan gerak kerja di kawasan berkenaan.

“Kita mempunyai pengasas yang sangat cekal dan teguh semangatnya dengan inspirasi besar terhadap masa depan negara serta idealisme untuk membangunkan negeri dan negara.

“Semangat reformasi yang dibawa pula bukan sekadar slogan atau kata-kata tetapi diterjemahkan melalui keazaman untuk melakukan perubahan demi kebaikan negara dan negeri secara bersama,” katanya ketika berucap pada Himpunan Setia Keadilan Pandan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan bahawa PKR kekal kukuh dan terus bergerak berdasarkan struktur organisasi sedia ada.

“Kita mempunyai kepimpinan serta struktur organisasi yang jelas dan akan terus bergerak ke hadapan meskipun berdepan cabaran dalaman.

“Pada masa sama, pengurusan di Ampang dan Pandan akan terus dipantau bagi memastikan gerak kerja di peringkat cabang dapat dilaksanakan dengan baik, tersusun dan lancar,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kehadirannya adalah bagi memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan, selain berharap kepimpinan serta akar umbi PKR di Pandan terus bekerjasama dalam memperkukuh gerak kerja parti di kawasan berkenaan.

“Ukuran kejayaan seorang pemimpin sebenarnya terletak pada keadilan dalam melaksanakan tugas, mengawal diri daripada rasa ego dan mempunyai sifat belas kasihan terhadap rakyat tanpa memilih latar belakang kaum, agama dan juga warna kulit.

“Justeru, kepimpinan ialah melakukan utama keadilan hak sama dengan rakyat,” katanya.

Program berkenaan turut dihadiri kepimpinan PKR Selangor serta jentera parti peringkat cabang Ampang dan Pandan.

Pada 17 Mei lalu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 18 Mei, sebelum keluar daripada PKR berkuat kuasa 19 Mei. – UTUSAN 

Scroll to Top