Paris: Perancis semalam mengumumkan menyekat kemasukan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir kerana layanan buruk terhadap aktivis misi kemanusiaan ke Gaza, Global Sumud Flotilla (GSF), baru-baru ini.
“Mulai hari ini (semalam), Ben-Gvir dilarang memasuki wilayah Perancis selepas tindakan biadapnya terhadap warga Perancis dan Eropah yang menjadi sebahagian aktiviti kemanusiaan,” kata Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot menerusi hantaran di X.
Beliau turut menyeru sekatan sama dikenakan Kesatuan Eropah (EU) terhadap menteri Israel berhaluan kanan itu.
Larangan itu berikutan bantahan global selepas Ben-Gvir memuat naik video pada 20 Mei yang menunjukkan layanan buruk terhadap aktivis GSF.
Ketika itu, kesemua aktivis ditahan oleh Israel di perairan antarabangsa dan menunggu pengusiran di pelabuhan Ashdod.
Dalam video itu, puluhan aktivis dilihat dipaksa melutut dengan dahi ke tanah dan tangan mereka diikat.
Klip video dengan kapsyen ‘Selamat Datang ke Israel’ juga menunjukkan Ben-Gvir menghina aktivis sambil mengibarkan bendera Israel.
Selepas menerima bantahan, Israel menghantar pulang aktivis berkenaan.
Seramai 36 aktivis GSF dari Perancis mengikuti misi berkenaan sebagai percubaan terbaharu untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza, selepas tentera Israel memintas konvoi sebelumnya pada April.
Barrot berkata, Perancis tidak menyokong misi berkenaan, namun enggan bertolak ansur dengan rakyatnya yang diancam, diugut atau dianiaya dengan cara terutamanya oleh pegawai awam.
Sepanyol juga menggesa EU untuk menyekat Ben-Gvir, manakala United Kingdom (UK) memanggil diplomat paling kanan Israel di Britain, susulan video itu.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, layanan Ben-Gvir terhadap aktivis itu tidak selaras dengan nilai dan norma Israel.
Bagaimanapun, Netanyahu sebelum ini mengecam misi bantuan kemanusiaan itu sebagai ‘skim jahat’ yang bertujuan untuk menyokong Hamas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




