Rafizi berdepan risiko hilang Pandan seperti Azmin tewas di Gombak – AMK Pulau Pinang

Rafizi berdepan risiko hilang Pandan seperti Azmin tewas di Gombak – AMK Pulau Pinang
Rafizi berdepan risiko hilang Pandan seperti Azmin tewas di Gombak – AMK Pulau Pinang

Muhammad Zakwan (gambar kiri) berkata, meskipun Rafizi mempunyai pengaruh tersendiri, parti baharunya iaitu Bersama Malaysia masih terlalu awal untuk dinilai dari segi kekuatan akar umbi dan jentera parti.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli berdepan risiko kehilangan kerusi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya PKR menampilkan calon berpengaruh untuk menentang beliau.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, situasi itu dilihat tidak mustahil berlaku sebagaimana nasib Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada PRU15.

Menurutnya, meskipun Rafizi mempunyai pengaruh tersendiri, parti baharunya iaitu Bersama Malaysia masih terlalu awal untuk dinilai dari segi kekuatan akar umbi dan jentera parti.

“Buat masa ini, terlalu awal untuk saya katakan beliau akan tewas di Pandan kerana partinya masih baharu dan belum teruji dari segi kekuatan akar umbi serta jentera.

“Bagaimanapun, jika PKR meletakkan seorang tokoh yang kuat di kawasan tersebut, saya yakin Rafizi boleh tewas dengan majoriti tipis,” katanya pada Ahad.

Pada PRU15, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri tewas di Parlimen Gombak kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, selepas menyandang kerusi itu selama tiga penggal atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Muhammad Zakwan berkata, faktor lokaliti Pandan sebagai kawasan bandar turut memainkan peranan penting dalam menentukan sokongan pengundi.

Katanya, pengundi di kawasan itu lazimnya cenderung memilih parti yang stabil serta mempunyai kekuatan untuk membentuk kerajaan.

“Jika dilihat dari sudut pengaruh politik, Azmin dan Rafizi mempunyai kekuatan yang hampir sama,” ujarnya.

 

 

Scroll to Top