PADANG RENGAS – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa mana-mana wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menghadiri program pengumuman Parti Bersama Malaysia (Bersama) baru-baru ini supaya tampil memberikan penjelasan kepada parti bagi mengelakkan polemik berterusan.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan itu wajar sebagai tanda tanggungjawab kepada parti susulan kehadiran beberapa Ahli Parlimen pada majlis pengenalan parti baharu pimpinan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menurutnya, kegagalan berbuat demikian hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak persoalan dan kritikan daripada anggota parti sendiri.
“Bagi saya mudah, mereka ini muncul dengan platform di parti lain dan mereka harus tampil serta memberikan penjelasan yang sewajarnya.
“Kalau mereka tidak mengambil sikap sedemikian, maka biarlah perkara ini berterusan dan jangan marah kalau ada pihak terus menyerang.
“Adalah adil untuk anggota parti mempertikaikan perkara ini, tetapi menjadi tanggungjawab mereka juga untuk memberikan penerangan dan saya yakin parti akan meminta sebahagian daripada mereka tampil memberikan penjelasan secara tuntas,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Hari Keluarga Padang Rengas sempena Program Fun Run Untukmu Ibu 2026 anjuran Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas di Surau Al-Khairiah, Kampung Labu Kubong di sini pada Ahad.
Mengulas penubuhan parti baharu itu, Muhammad Kamil menegaskan bahawa gerakan itu tidak memberi kesan besar terhadap kekuatan PKR di peringkat akar umbi.
Katanya, PKR, khususnya AMK, kekal fokus memperkukuh jentera parti sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk pilihan raya negeri dan pilihan raya umum.
“Kita tidak nampak gerakan ini mempunyai signifikan besar. Kekuatan kita di akar umbi masih kukuh dan utuh.
“Malah, dari semasa ke semasa, kita melihat pertambahan bilangan anggota yang menyertai parti meskipun kita tidak menguar-uarkannya seperti sesetengah pihak lain,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Kamil turut menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang memainkan politik fitnah, kaum dan agama sehingga boleh menggugat keharmonian negara.
Beliau merujuk isu membabitkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh, yang didakwa mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti berkaitan sahabat Nabi.
Menurutnya, kenyataan sedemikian tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
“Kita minta pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja.
“Politik melampau seperti ini mesti dihentikan kerana akhirnya ia hanya membawa masyarakat kepada keadaan yang tidak menguntungkan, termasuk perpecahan dan pertembungan yang tajam,” katanya.
Pada 17 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa Rafizi dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, ketika majlis Pengumuman Hala Tuju Politik di Petaling Jaya, mengumumkan keluar daripada PKR dan seterusnya mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.
Kedua-dua bekas menteri tersebut mengesahkan bahawa mereka akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (MU) yang didaftarkan pada 2 Disember 2016.
Antara yang kelihatan hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Sebelum ini, Kesavan memaklumkan bahawa kehadirannya ke majlis itu adalah bagi memenuhi jemputan sebagai rakan.
Beliau juga belum membuat sebarang keputusan berhubung penyertaan ke dalam parti itu.
Sementara itu, sebuah portal berita melaporkan Wanita PKR mendesak enam wakil rakyat parti itu yang hadir pada majlis bersama Rafizi pada Ahad lalu supaya melepaskan keanggotaan parti secara sukarela.
Setiausaha Wanita PKR, Sangetha Jayakumar, berkata tindakan dan pendekatan politik ‘dua kolam’ atau bermuka dua mereka bukan sahaja menjejaskan kestabilan parti, malah mengkhianati kepercayaan anggota akar umbi.



