am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan ngeri di Jalan Losong Feri, Kuala Terengganu pada 19 Mei lalu sehingga mengorbankan seorang remaja berusia 18 tahun dijangka didakwa dalam masa terdekat.
Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairudin berkata, lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sendiri itu akan didakwa atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya.
Beliau berkata polis sudah merakam percakapan suspek sejurus selepas kejadian.
“Kami telah merakam percakapan pemandu Volkswagen Golf GTI itu dan siasatan kes kini berada pada tahap antara 60 hingga 70 peratus selesai.
“Sebaik siasatan lengkap, dia akan didakwa mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya,” katanya.
Mohd Khairi berkata suspek juga didapati negatif dadah.
Sebelum ini dilaporkan seorang pekerja pendawaian elektrik berusia 18 tahun maut dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah van dan kereta di Jalan Losong Feri, Kuala Terengganu.
Mangsa dikenali sebagai Wah Han Keong meninggal dunia di lokasi kejadian selepas sebatang tiang Jabatan Kerja Raya (JKR) menembusi van yang dinaikinya.
Polis menerima laporan kecemasan pada jam 4.12 petang berhubung kemalangan membabitkan sebuah Nissan Vanette dan Volkswagen Golf GTI.
Siasatan awal mendapati Volkswagen Golf GTI yang membawa lima ahli keluarga sedang bergerak dari pusat bandar Kuala Terengganu menuju ke Muzium Negeri Terengganu di Losong sebelum pemandunya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang JKR di tengah jalan.
Kenderaan itu kemudian memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan van yang dinaiki mangsa bersama bapanya. Impak pelanggaran menyebabkan tiang berkenaan tumbang lalu menembusi van dan mengenai kepala mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




