KETUA jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, mengakui kurang senang dengan kemenangan percuma yang diraih Malaysia selepas Thailand menarik diri ketika aksi final regu berpasukan Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 malam tadi.
Beliau berkata bantahan Thailand terhadap keputusan pengadil sepatutnya ditangani secara profesional dengan kedua-dua pasukan perlu meneruskan perlawanan bagi menentukan juara sebenar di gelanggang.
Skuad Gajah Putih, bagaimanapun, memilih untuk tidak meneruskan aksi susulan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, sekali gus menyaksikan Malaysia dianugerahkan kemenangan 2-1 di laman sendiri.
“Kalau kita tengok daripada video rujukan, memang jelas kaki pemain Thailand melepasi bawah jaring dan mungkin mereka tidak dapat menerima keputusan itu.
“Bagi saya, yang berlaku ialah keputusan pengadil dan kita perlu menerima sebarang keputusan telah dimuktamadkan dengan hati terbuka. Apa-apa juga kesilapan yang kita lakukan perlu diterima,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir itu.
Ahmad Jais berkata secara peribadi, beliau tidak berpuas hati apabila kejayaan menjulang trofi diraih dalam situasi penuh kontroversi itu.
“Saya tidak berpuas hati dengan kemenangan sebegini, namun mungkin ini rezeki pasukan kita untuk mencipta kejayaan dalam keadaan seperti ini dan kita perlu menerima serta meraikannya,” katanya.
Beliau berkata tanpa kontroversi tersebut, kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang sama rata untuk membuktikan kemampuan masing-masing bagi muncul juara.
Dalam pada itu, Ahmad Jais tetap memuji komitmen dan semangat juang yang dipamerkan anak buahnya sepanjang aksi berkenaan meskipun tanpa tekong utama negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, yang mengalami kecederaan.
“Dari segi prestasi, pemain-pemain kita telah memberikan yang terbaik, bermain bermati-matian dan menunjukkan semangat juang tinggi. Mereka sememangnya berhak mencipta kejayaan walaupun berlaku kontroversi.
“Namun, itu lumrah dalam permainan dan saya percaya pemain-pemain kita mempunyai karakter untuk terus mencipta kejayaan. Mereka perlu bekerja lebih keras selepas ini bagi mendominasi lebih banyak kejohanan antarabangsa,” katanya.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad negara menamatkan dominasi Thailand yang muncul juara dalam tiga edisi terdahulu kejohanan berprestij berkenaan.
Sementara itu, pengurus pasukan Thailand, Auychai Srisuwan, melahirkan rasa kecewa terhadap beberapa keputusan pengadilan semalam.
Auychai berkata skuad Thailand merasakan beberapa keputusan pengadil tidak memihak kepada mereka, selain mendakwa berlaku kelewatan permainan yang menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan pasukan.
Beliau, bagaimanapun, menegaskan bahawa Thailand tidak mempunyai sebarang masalah dengan skuad negara mahupun penyokong Malaysia sepanjang kejohanan berlangsung.



