Eksais ketenteraan: ATM diminta sembah maklum, dapat perkenan dahulu Sultan Pahang

Eksais ketenteraan: ATM diminta sembah maklum, dapat perkenan dahulu Sultan Pahang

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mengambil berat aktiviti latihan ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hendak dilaksanakan terutama di kawasan kepulauan di negeri ini.

Tengku Hassanal bertitah, baginda menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti ketenteraan tersebut akan menggugat ekosistem alam sekitar, flora dan fauna di Pahang.

Baginda tidak menolak aktiviti ketenteraan bagi meningkatkan kemahiran dan pengalaman para pegawai serta anggota tentera.

“Namun aktiviti ketenteraan tersebut mestilah dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal dan bertanggungjawab, selamat serta harmoni dengan alam sekitar dan semua pihak,” titah baginda dalam kenyataan di sini.

Justeru, Tengku Hassanal bertitah agar pihak ATM dan semua jabatan dan agensi yang berkaitan menyembah maklum dan mendapatkan perkenan Sultan Pahang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang latihan dan eksesais ketenteraan di negeri Pahang.

Tengku Mahkota Pahang menitahkan agar pihak ATM dan semua pihak mesti mematuhi serta menjunjung titah berkenaan.

Baginda bertitah, tidak akan teragak-agak meminta kerajaan negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran prosedur yang berlaku. – UTUSAN 

Scroll to Top