am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Johor mahu parti itu kekal tenang, fokus dan terus melangkah ke hadapan walaupun terdapat tindakan beberapa bekas pimpinan dan anggota parti berkenaan yang memutuskan untuk keluar parti serta memilih haluan politik baharu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, PKR menghormati hak setiap individu untuk menentukan pendirian politik masing-masing, namun keputusan meninggalkan perjuangan tidak wajar disertai dengan tuduhan melulu, naratif mengelirukan atau kenyataan yang lebih bersifat emosi daripada fakta.
Beliau berkata, sebagai sebuah parti yang melalui proses demokrasi terbuka, kewujudan perbezaan pandangan, persaingan dan kekecewaan sememangnya akan berlaku.
Bagaimanapun, katanya, kematangan politik menuntut supaya sebarang rasa tidak puas hati diurus melalui saluran yang betul, bukannya memilih pentas media untuk melemparkan persepsi yang boleh mengelirukan anggota dan rakyat.
“Adalah tidak adil untuk menggambarkan seolah-olah keseluruhan parti berada dalam keadaan rapuh hanya kerana segelintir individu memilih untuk membawa haluan berbeza.
“Hakikatnya, PKR Johor terus bergerak dengan struktur kepimpinan yang kukuh, jentera yang aktif dan anggota akar umbi yang kekal setia kepada perjuangan reformasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Zaliha berkata, dakwaan kononnya ribuan anggota parti akan keluar juga tidak harus dijadikan alat propaganda politik semata-mata kerana PKR tidak berpolitik dengan angka yang dicanang untuk mencipta persepsi, sebaliknya berpegang kepada fakta, kerja lapangan serta kekuatan sebenar di akar umbi.
Katanya, perbezaan prinsip atau rasa kecewa adalah perkara biasa dalam politik, namun rakyat cukup matang untuk menilai sama ada keputusan itu benar-benar berasaskan prinsip perjuangan atau sekadar reaksi terhadap kekecewaan peribadi selepas proses demokrasi parti.
Pada masa sama, beliau berkata, PKR Johor tidak akan terheret dalam politik dendam atau polemik yang tidak membina, sebaliknya fokus parti kekal jelas untuk memperkukuh organisasi, merapatkan saf perjuangan dan memastikan kesiapsiagaan penuh menghadapi cabaran politik akan datang.
“Perjuangan ini tidak pernah dibina atas kekuatan individu tertentu, jauh sekali bergantung kepada mereka yang datang dan pergi mengikut musim politik.
“PKR telah melalui cabaran yang jauh lebih besar dan akan terus berdiri kerana kekuatannya terletak pada prinsip, bukan personaliti.
“Kepada seluruh anggota PKR Johor, kekalkan ketenangan, teruskan kerja, dan jangan terperangkap dalam permainan persepsi. Masa depan perjuangan ini ditentukan oleh mereka yang kekal bekerja, bukan mereka yang memilih untuk meninggalkan medan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Johor negeri pertama yang menubuhkan Jawatankuasa Sementara Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) di peringkat negeri, dengan seramai 2,800 keahlian yang mana 29 peratus daripadanya adalah ahli PKR.
Pengerusi Jawatankuasa Sementara BERSAMA Negeri Johor, Abd Hamid Ali dilaporkan berkata, berkuat kuasa semalam, ahli-ahli PKR serta pimpinan termasuk dirinya yang juga bekas MPN Johor juga mengumumkan keluar PKR dan menyertai BERSAMA.
Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat apabila mereka hilang keyakinan terhadap prinsip ketelusan dalam proses pemilihan parti tahun lalu serta sikap meminggirkan mereka selepas kepimpinan parti sedia ada memenangi pemilihan yang lalu.
Jawatankuasa Sementara BERSAMA Negeri Johor itu juga menyatakan hasrat untuk meletakkan calon BERSAMA di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Minggu lalu, Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar PKR dan mengambil alih BERSAMA yang ditubuhkan pada 2016.
© New Straits Times Press (M) Bhd




