PH tak mahu dipatuk ular dua kali – Anthony

PH tak mahu dipatuk ular dua kali – Anthony
PH tak mahu dipatuk ular dua kali – Anthony

Anthony ketika ditemui pemberita selepas program minum petang meraikan 406 pelajar cemerlang SPM Parlimen Seremban pada Ahad.

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) perlu berhati-hati dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, PH mempunyai pengalaman pahit ketika bekerjasama dengan kedua-dua parti tersebut terutama Bersatu.

“Kita membentuk kerjasama dalam kerajaan, malah kita menyokong calon daripada Bersatu menjadi Perdana Menteri.

“Tapi akhirnya kita dikhianati dan dijatuhkan. Jadi memang saya secara peribadi tak percaya kepada bentuk kerjasama seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program minum petang meraikan 406 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Seremban di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas khabar angin kononnya Bersatu kemungkinan menyertai PH selepas Pas memaklumkan akan menilai semula kerjasamanya dengan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN).

Anthony menegaskan, PH juga tidak berhasrat menjalin kerjasama dengan parti tersebut kerana tidak mahu pengalaman dikhianati berulang lagi.

Katanya, kerjasama yang dibentuk dengan mana-mana parti perlulah berdasarkan atas keikhlasan bukannya disebabkan mahu mencari ruang disebabkan ditendang oleh pihak lain.

“Saya rasa tak timbullah perkara itu dan saya pun tak dengar lagi daripada mana-mana pihak yang Bersatu atau Pas nak sertai PH.

“Kita pun tak ada niat nak bekerjasama dengan kedua-dua parti itu. Kita jangan dipatuk ular dua kali, perlu ambil pendirian berhati-hati terutama untuk bekerjasama dengan Bersatu atau Pas,” katanya.

Selain itu ujarnya, PH perlu memberi fokus kepada kekuatan sendiri gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya akan datang dan bukannya bergantung kepada mana-mana pihak.

Scroll to Top