am@hmetro.com.my
Seremban: Pakatan Harapan (PH) perlu berhati-hati dalam menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti, khususnya dengan BERSATU dan PAS.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang menjelaskan bahawa PH mempunyai pengalaman pahit ketika bekerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan sebelum ini.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, parti itu pernah menyokong calon daripada BERSATU menjadi Perdana Menteri, bagaimanapun akhirnya dikhianati.
“Setakat ini, saya tak dengar BERSATU nak bekerjasama dengan PH, juga tak pernah ada perbincangan, jadi saya tak mahu nak buat apa-apa spekulasi.
“Namun, bagi kita (PH) kena berhati-hati jika ada pihak hendak bekerjasama dalam keadaan seperti ini (menjelang pilihan raya), kepemimpinan PH kena berhati-hati, tak boleh sebarangan menyambut kerjasama seperti ini.
“Ada kemungkinan pihak yang akan ambil peluang dan bukannya atas keikhlasan, apa lagi ketika ini timbul isu PAS hendak bercerai dengan BERSATU,” katanya kepada media di sini, petang ini.
Terdahulu, beliau hadir Majlis Hi-Tea Bersama Menteri Pengangkutan dan Penyampaian Insentif Kepada Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Peringkat Parlimen Seremban, di Dewan Komuniti Taman Coral Height Sikamat.
Beliau mengulas desas desus di media sosial mengatakan BERSATU dikatakan cuba merisik untuk bekerjasama dengan PH susulan hubungan parti itu dengan PAS dikatakan kurang baik walau kedua-duanya adalah parti teras dalam Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, PH perlu mempunyai kekuatan sendiri apabila berhadapan dengan pilihan raya termasuk di Negeri Sembilan dan bukannya bergantung kepada pihak yang lain.
“PAS dan BERSATU (PN) sendiri banyak hentam DAP, banyak salahkan kita, mana mungkin kita hendak bekerjasama dengan mereka.
“Berikutan situasi itu, secara peribadi saya tidak boleh dan tidak akan mempercayai jika diadakan sekali lagi bentuk kerjasama seumpama itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




