ATM junjung titah Tengku Mahkota Pahang, komited perkukuh penyelarasan latihan ketenteraan

ATM junjung titah Tengku Mahkota Pahang, komited perkukuh penyelarasan latihan ketenteraan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjunjung kasih atas keprihatinan, titah dan pandangan dizahirkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pelaksanaan aktiviti ketenteraan di Pahang seperti dilaporkan media hari ini.

ATM dalam kenyataan berkata, sebagai institusi pertahanan negara, pihaknya sentiasa komited memastikan setiap latihan, eksesais dan operasi dilaksanakan secara terancang, profesional serta bertanggungjawab.

Menurutnya, ATM mematuhi sepenuhnya garis panduan, prosedur operasi dan penilaian impak alam sekitar yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.

“Langkah mitigasi, pemantauan dan penilaian berterusan turut dilaksanakan bagi meminimumkan kesan terhadap ekosistem semula jadi,” katanya dalam kenyataan ini.

ATM turut mengiktiraf kepentingan kerjasama strategik bersama kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, pakar berkaitan dan komuniti setempat.

“Sehubungan itu, ATM akan terus memperkukuh mekanisme penyelarasan dan libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan latihan ketenteraan dijalankan secara lebih tersusun, selamat, teratur serta berhemah dengan mengambil kira sensitiviti setempat,” katanya.

Menurut ATM, latihan ketenteraan adalah elemen kritikal dalam memastikan kesiapsiagaan, keupayaan operasi dan tahap kompetensi angkatan sentera sentiasa berada pada tahap optimum demi mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.

“Sekali lagi, ATM menjunjung setinggi-tinggi kasih dan dengan penuh takzim akur serta menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top