Nur Izzati Humaira masih hilang di Bukit Asa, SAR babitkan 51 anggota keselamatan

Nur Izzati Humaira masih hilang di Bukit Asa,  SAR babitkan 51 anggota keselamatan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis masih giat mengesan remaja wanita yang dilaporkan hilang ketika turun dari pendakian semalam selepas kali terakhir dilihat bersendirian di Bukit Asa, Hulu Bernam, Hulu Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kehilangan Nur Izzati Humaira Azizul, 18, pada jam 2.30 petang semalam.

“Anggota bertugas memaklumkan mangsa hilang ketika turun dari pendakian bersama keluarganya. Siasatan mendapati aktiviti pendakian mangsa bermula jam 8.40 bersama enam ahli keluarganya.

“Pada jam 10.50 pagi ketika perjalanan turun, semua pendaki berhenti rehat manakala mangsa meminta kunci kenderaan dan beg galas dari ibunya kerana mahu turun terlebih dahulu dan berehat di dalam kereta dengan alasan tidak tahan panas dan penat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Ibrahim berkata, pada jam 11.35 pagi apabila ibu mangsa sampai di kereta mendapati anaknya tiada dan disyaki hilang ketika dalam perjalanan turun berseorangan.

Katanya, kali terakhir wanita itu dilihat memakai tudung labuh coklat, baju hijau gelap berlengan panjang dan berseluar hitam.

“Bomba yang dibantu polis membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Pencarian bermula jam 4.38 petang sehingga 11.53 malam semalam dengan keadaan di lokasi yang masih hujan renyai. SAR disambung semula jam 9.30 pagi tadi yang membabitkan 51 kekuatan anggota daripada pelbagai agensi,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641222 atau Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Raja Noor Rizam Raja Abas (05-4596389).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top