Tuah restu ibu

Tuah restu ibu

puterialia@hmetro.com.my

Di sebalik wajah ceria dan jenaka yang sering menghiburkan peminat, Bell Ngasri mendedahkan penglibatannya dalam dunia seni sejak kanak-kanak bukanlah atas kehendak sendiri, sebaliknya demi memikul tanggungjawab membantu keluarga.

Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, 46, berkata, ibu dan bapanya adalah individu kuat yang bertanggungjawab meletakkan dirinya dalam industri hiburan tanah air sehingga berjaya menempa nama.

Dalam pada itu, Bell turut berkongsi, selepas menginjak dewasa, dia pernah memasang impian untuk mengikut jejak langkah abang dan kakaknya yang berjaya dalam bidang akademik.

“Saya mahu jadi seperti kakak dan abang yang belajar bidang masing-masing. Kakak dalam bidang perakuanan, manakala abang pula dalam bidang sains komputer.

“Saya pun mahu jadi seperti mereka juga, mungkin jadi arkitek, doktor, peguam atau bidang-bidang seperti itu. Tetapi pada masa sama, saya rasa ada tanggungjawab untuk keluarga,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, pelakon dan pelawak itu mendedahkan ada satu fasa yang memerlukan dia untuk memikul tanggungjawab besar membantu keluarganya apabila adik-adiknya mula beralih arah ke bidang lain.

“Ketika itu, masih ada orang yang nak panggil (bekerja), jadi saya tetap bantu keluarga. Ada satu zaman itu apabila mereka (adik-adik) mahu beralih arah dan memberi tumpuan kepada perkara lain tetapi saya yang masih berlakon ini tetap bantu keluarga.

“Memang pada awalnya saya berlakon untuk bantu keluarga dan apabila sudah berterusan, apa salahnya saya teruskan sahaja,” katanya.

Meskipun sibuk bekerja, Bell tidak mengabaikan pelajaran dan berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang Penyiaran.

Malah, dia juga pernah berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti remaja lain, namun akur dengan nasihat ibunya.

“Apa-apa pun, saya masih mendengar kata mak. Bagi saya, mak ibarat ‘kepala’ yang menentukan (hala tuju).

“Bila saya dah habis belajar, saya nak sambung pengajian macam remaja lain, tetapi atas nasihat mak, dia minta saya teruskan sahaja dalam bidang (seni) ini dan saya akur.

“Bagi saya, bila dengar kata mak, mungkin ada pahala sedikit untuk saya sebagai anak. Saya teruskan kerana percaya kata-kata mak itu ada hikmahnya,” katanya lagi.

Menurutnya, restu dan doa seorang ibu membawa keberkatan berganda buat karier seninya sehinggalah dia mampu meraih pelbagai kejayaan besar sehingga hari ini.

“Alhamdulillah, sebab itulah atas kejayaan ini, saya pulangkan balik kepada mak. Mak saya asalnya seorang pelakon ekstra di belakang tabir.

“Dia sebenarnya mahu berada di depan (watak utama) dan berlakon, tetapi mungkin tidak berapa menonjol pada ketika itu.

“Tetapi, anak-anak dialah yang dibawa sehingga berjaya. Jadi, hadiah (kejayaan) ini sebenarnya bukan untuk saya, tetapi lebih kepada mak dan juga ayah saya,” kongsinya.

Sementara itu, Bell turut mendedahkan dia pernah terfikir untuk berundur daripada dunia lakonan dan mengakui detik itu berlaku ketika dia meniti usia 20-an apabila melihat kejayaan adik-beradiknya yang lain.

“Saya pernah rasa benda-benda itu (nak berhenti) masa umur saya 20-an kerana ketika itu adik saya dah berjaya jadi penerbit.

“Jadi, bila saya nampak kejayaan mereka, saya rasa kejayaan adik-adik saya lebih daripada saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bell berkongsi bahawa situasi itu membuatkannya terfikir untuk melakukan ‘penghijrahan’ demi mengecap kejayaan yang lebih baik.

“Bila saya tengok adik-beradik saya dah berjaya dengan bidang masing-masing, kadang-kadang ada orang kata kepada saya untuk berhijrah.

“Mereka kata berhijrah ini bagus untuk lebih berjaya. Saya ingat kata-kata itu bagus, tetapi dalam masa sama saya dengar juga cakap mak saya untuk teruskan dalam bidang (seni) ini.

“Tetapi, penghijrahan yang Tuhan berikan untuk saya bukanlah bertukar bidang, sebaliknya daripada berlakon dalam naskhah yang berat, sedih dan serius kepada naskhah komedi,” katanya lagi.

Bercerita lanjut, Bell mengakui karakter humor dan gemar bergurau sudah sebati dalam dirinya sejak zaman kanak-kanak lagi, sehingga sering mengusik kru produksi di set penggambaran.

“Saya pun tidak tahu, sebab perangai saya memang macam ini (suka bergurau). Masa kecil-kecil lagi saya dah menyakat ‘auntie-auntie’, main-mainkan mereka sampai sorok kasut.

“Tengah penggambaran pula asyik berlari sampai mereka kata saya ini tidak reti duduk diam.

“Jadi, bila umur dah masuk 20-an, mereka (pihak produksi) nampak perangai saya masih sama dan ada unsur komedi. Jadi, mereka cuba berikan saya watak komedi pula,” katanya.

Bell berkata, pada fasa awal peralihan itu, dia sebenarnya tiada halangan untuk terus membawa watak serius, namun dia memilih untuk berdoa agar dikurniakan skop kerja yang lebih santai dan menggembirakan.

“Bukanlah saya tidak mahu untuk berlakon watak serius. Saya okay sahaja. Cuma saya kata, saya nak berlakon ikut diri sendiri kerana mahu ‘enjoy’.

“Saya minta dekat Tuhan yang saya mahu ‘happy-happy’ sebab dah terlalu lama dalam bidang ini.

“Dipendekkan cerita, aturan Tuhan itu datang secara tiba-tiba. Mungkin waktu itu saya sekadar menggantikan pelakon lain.

“Pihak produksi kata, ‘Bell, pelakon tiadalah…kau sahajalah berlakon watak ini. Kita punya cerita ini genre komedi, kau bedal (reka) sahajalah dialog apa-apa.”

“Jadi, saya pun ‘bedal’ sendiri dialog dan mereka semua ketawa. Bermula dari situ, mereka mula serapkan saya dalam cerita-cerita bergenre komedi seperti siri drama televisyen Joyah dan telefilem Bedah Tong Gas,” katanya.

Bakat semula jadi yang ada pada Bell kemudiannya terus mendapat perhatian penggiat seni lain termasuk barisan pelawak otai tanah air yang sering mengambilnya sebagai pelakon sampingan.

“Jadi, dari situlah kerjaya saya dalam genre komedi berterusan sehingga ke hari ini. Alhamdulillah,” kongsinya lagi.

ESOK: Bell tidak akan berhenti berlakon selagi ada permintaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top