Simpan hasrat ceburi kerjaya lakonan suara atau 'voice actiing'

Simpan hasrat ceburi kerjaya lakonan suara  atau 'voice actiing'

am@hmetro.com.my

Pelakon dan model, Nia Atasha Rosli mengakui menyimpan impian untuk bergandingan dengan Nabila Huda yang dianggap antara aktres paling versatil dalam industri hiburan tempatan.

Menurut Nia, dia sudah lama mengikuti perkembangan lakonan Nabila dan mengagumi keupayaan pelakon itu tatkala membawa pelbagai karakter di layar.

“Saya memang teringin sangat nak berlakon dengan Nabila Huda. Saya rasa personaliti dia dan cara dia bawa watak memang sangat menarik.

“Dia sangat berbakat dan kalau diberi peluang, saya memang nak sangat berganding dengan dia,” katanya kepada Harian Metro.

Nia berkata, meskipun mereka pernah bertemu di beberapa acara hiburan sebelum ini, namun mereka belum pernah benar-benar bekerja dalam satu produksi bersama.

“Kami pernah jumpa dekat acara dan pernah ada babak sekejap dalam projek sama, tapi memang tak sempat bekerja rapat. Jadi saya harap suatu hari nanti dapatlah berlakon betul-betul dengan dia,” katanya.

Menurut Nia, minatnya terhadap Nabila bukan sesuatu yang baru kerana dia sudah mengikuti perjalanan seni aktres itu sejak dahulu lagi.

“Saya memang dah ikut dia sejak dulu. Lakonan dia antara yang jadi inspirasi kepada saya sebagai pelakon,” katanya.

Tambah Nia, kelebihan Nabila yang mampu membawa pelbagai genre menjadi antara faktor utama dia mengagumi aktres berkenaan.

“Dia boleh buat komedi, watak berat, babak menangis dan cerita seram. Pada saya dia sangat versatil.

“Sebagai pelakon, saya rasa personaliti sebenar dia dengan karakter yang dia bawa dalam drama atau filem juga sangat berbeza dan itu yang saya kagum,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Nia berkata dia kini semakin terbuka untuk mencuba cabang seni baharu selepas beberapa tahun aktif dalam bidang lakonan.

Menurutnya, antara perkara yang paling ingin dicuba selepas ini adalah bidang lakonan suara atau ‘voice acting’.

“Saya sebenarnya teringin nak cuba jadi pelakon suara untuk animasi sebab saya memang suka animasi.

“Dulu saya membesar dengan anime, jadi dari situ timbul rasa nak jadi voice actor,” katanya.

Nia bagaimanapun mengakui dia masih belum pernah mendapat peluang untuk terbabit dalam mana-mana projek lakonan suara setakat ini.

“Belum pernah lagi, tapi saya memang terbuka kalau ada peluang. Saya rasa itu sesuatu yang menyeronokkan untuk diterokai,” katanya.

Berkongsi perjalanan seninya, Nia berkata dia mula aktif dalam industri sekitar 2019 sebelum pandemik Covid-19 sedikit sebanyak memperlahankan rentak kerjayanya.

“Saya mula selepas Covid, tapi sebenarnya saya bermula sekitar 2019. Lepas itu Covid berlaku dan saya tak buat banyak projek.

“Mungkin kalau dikira keseluruhan, hampir enam hingga lapan tahun juga dalam industri,” katanya.

Sepanjang tempoh itu, Nia berkata dia sudah diberi peluang membawa pelbagai jenis karakter termasuk romantik komedi, aksi dan thriller.

Bagaimanapun, dia percaya masih banyak ruang untuk dirinya berkembang sebagai pelakon terutama dalam meneroka cabang baharu yang lebih mencabar pada masa depan.

Mengenai hubungan dengan kekasih hati yang juga pelakon Sky Iskandar pula, Nia memaklumkan mereka masih berkawan dan semua dalam baik-baik sahaja.

Sebelum ini Nia berkongsi mengenai hubungan mereka dengan kedua-duanya sepakat untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada kerjaya masing-masing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top