Ammar Ahyan, Emma Sofea wajah baharu kempen Yeo's

Ammar Ahyan, Emma Sofea wajah baharu kempen Yeo's

Kuala Lumpur : Jenama minuman terkemuka, Yeo’s, tampil dengan pendekatan yang lebih segar dan moden dalam usaha mendekati generasi muda dengan menampilkan dua personaliti popular, Ammar Ahyan dan Emma Sofea, sebagai wajah kempen terbaharu sempena sambutan Hari Teh Sedunia.

Pemilihan dua ikon muda itu dilihat selari dengan imej rangkaian produk Yeo’s Tea yang mahu kelihatan lebih dekat dengan gaya hidup generasi kini yang aktif, ekspresif, gemar berkongsi pengalaman di media sosial serta menghargai hubungan autentik dengan sesuatu jenama.

Menurut Pengarah Pemasaran Yeo’s Malaysia, Renda Low pengguna muda pada masa kini bukan sahaja menilai sesuatu minuman dari sudut rasa semata-mata, malah turut melihat bagaimana produk berkenaan mampu melengkapi rutin serta identiti harian mereka.

Katanya lagi, bukan sekadar rasa yang sedap malah mereka mahukan produk yang sesuai dengan gaya hidup, mudah dinikmati di mana sahaja, mempunyai identiti tersendiri dan mampu mencipta ‘connection’ dengan momen harian.

“Mereka juga lebih tertarik kepada jenama yang autentik, dekat dengan jiwa, dan menawarkan pengalaman yang boleh dikongsi bersama rakan-rakan atau dimuat naik ke media sosial,” katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Immersify Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Renda menjelaskan Ammar dan Emma Sofea dipilih kerana memiliki personaliti yang moden, positif dan amat diminati oleh golongan muda masa kini.

“Kami mahu Yeo’s Tea terus berkembang bersama perubahan gaya hidup pengguna tanpa meninggalkan identiti jenama yang sudah lama dekat di hati rakyat Malaysia.

“Ammar Ahyan dan Emma Sofea mewakili semangat generasi muda hari ini yang ekspresif, santai, dan penuh karakter,” ujarnya.

Kempen bertemakan ‘Yeo’s, Magik Teh & Kamu’ itu mengetengahkan pengalaman immersive (mengasyikkan) yang menggabungkan elemen teh, budaya, gaya hidup, dan pengalaman deria dalam suasana yang lebih interaktif.

Melalui konsep berkenaan, tetamu dibawa meneroka dunia Yeo’s Tea menerusi ruang kandungan interaktif, sesi rasa teh, visual gaya hidup serta pengalaman media sosial yang direka khas untuk generasi digital.

“Konsep ‘immersive experience’ ini dipilih kerana anak muda sekarang lebih menghargai pengalaman yang boleh dirasai sendiri berbanding pendekatan pemasaran tradisional. Kami mahu pengguna merasai dunia Yeo’s Tea melalui aroma, rasa, visual, dan momen kebersamaan yang dekat dengan emosi mereka,” tambah Renda.

Lebih menarik, kempen ini turut memperkenalkan konsep “tea personality” yang membolehkan pengguna mengenal pasti personaliti diri berdasarkan pilihan perisa kegemaran masing-masing.

Sebagai strategi pengukuhan, Yeo’s Malaysia juga bakal memperluaskan kandungan digital mereka menerusi video kreatif, siri podcast, TikTok LIVE, serta kolaborasi bersama pempengaruh (influencer).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top