Manchester: Pep Guardiola mungkin meninggalkan Manchester City dengan koleksi 20 trofi termasuk enam gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), namun beliau menegaskan kenangan dan hubungan yang terjalin sepanjang sedekad bersama kelab itu jauh lebih bermakna daripada kejuaraan dimenangi.
Guardiola yang menghadiri sidang media terakhirnya sebagai pengurus City selepas kekalahan 1-2 kepada Aston Villa dalam aksi penutup musim, bercakap penuh emosi mengenai hubungan istimewa yang dibinanya bersama pemain, kakitangan, penyokong dan bandar Manchester.
Walaupun rekod kejayaannya cukup hebat, Guardiola berkata trofi semata-mata tidak mampu menggambarkan pengalaman sebenar yang dilaluinya sepanjang berada di kelab itu.
“Beg penuh kenangan yang saya bawa pulang lebih besar daripada mana-mana pasukan lain sebelum ini.
“Tanpa 20 trofi itu mungkin saya sudah lama dipecat, tetapi apabila anda berada di rumah, anda tidak akan melihat trofi dan berkata ‘Oh, saya sangat gembira’.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana hubungan ini boleh terbina sejak hari pertama bersama bandar ini, terutama dengan kakitangan belakang tabir dan pemain. Saya tahu kami benar-benar mempunyai hubungan yang kuat,” katanya.
Jurulatih dari Sepanyol itu turut menyebut nama kapten yang bakal meninggalkan kelab, Bernardo Silva dan pertahanan John Stones.
“Saya jarang menangis tetapi apabila melihat Bernardo menangis, saya juga menangis.
“Ia detik yang sangat istimewa bersama Bernie. Dia berkata kepada saya, ‘Saya sangat penat, saya sudah tidak mampu berlari’. Emosi hari ini juga sangat besar buat John,” kata Guardiola.
Guardiola turut menghargai individu lain yang mencorakkan perjalanan gemilangnya bersama City termasuk bekas pemain yang hadir khas untuk majlis perpisahannya.
“Bekas pemain City, Fernandinho datang dari Brazil hanya untuk hari ini dan saya tidak akan melupakan perkara itu.
“Eddie dan Gundo (Ederson dan Ilkay Gundogan), serta semua pemain dalam video penghargaan itu, terutama John dan Bernie.
“Apa yang mereka lakukan sepanjang sedekad ini cukup luar biasa. Mereka manusia hebat, pemain hebat dan juga ‘mesin’ yang luar biasa. Setiap hari hanya mahu menang, menang dan menang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




