PROJEK mega Jambatan Darat Thailand terus mencuri perhatian apabila kebolehlaksanaannya dipersoalkan oleh pelbagai pihak susulan kebimbangan terhadap unjuran permintaan masa depan, kos pelaksanaan yang tinggi dan persaingan kuat daripada Singapura dan Malaysia.
Bangkok sebelum ini menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai projek tersebut yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Ekniti Nitithanprapas.
Jawatankuasa berkenaan diberikan tempoh 90 hari untuk menilai projek itu dari sudut ekonomi, alam sekitar dan geopolitik.
Projek berkenaan dirancang untuk menghubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman melalui rangkaian pelabuhan, jalan raya dan landasan kereta api, sekali gus memendekkan laluan perdagangan maritim serantau.
Bagaimanapun, beberapa pakar ekonomi dan akademik memberi amaran bahawa projek itu berdepan risiko ketidaktentuan permintaan, selain cabaran untuk menarik syarikat perkapalan antarabangsa menukar laluan sedia ada.
Ahli akademik kanan Universiti Harvard, Profesor Kriengsak Chareonwongsak berpendapat kerajaan perlu menilai dengan teliti sama ada projek itu mampu memberikan kelebihan sebenar kepada industri perkapalan global.
Menurutnya, persaingan dalam sektor logistik serantau kini banyak ditentukan oleh kecekapan operasi, kos pengendalian dan kestabilan rantaian bekalan yang ditawarkan oleh hab-hab sedia ada.
Keadaan ini menyebabkan syarikat perkapalan antarabangsa lebih berhati-hati untuk beralih kepada laluan baharu sekiranya tiada kelebihan jelas dari segi masa dan kos.
Selain faktor pasaran, projek itu turut berdepan cabaran besar dari sudut pembiayaan kerana ia melibatkan kos infrastruktur yang sangat tinggi serta memerlukan kerjasama pelaburan jangka panjang antara sektor awam dan swasta.
Ketidaktentuan pulangan pelaburan boleh menjejaskan keyakinan pelabur institusi dan rakan strategik global.
Dari sudut teknikal pula, pembinaan rangkaian pelabuhan, jalan raya dan landasan kereta api secara serentak memerlukan penyelarasan kejuruteraan yang kompleks.
Risiko kelewatan projek, peningkatan kos pembinaan dan isu pengambilan tanah turut menjadi antara faktor yang boleh menjejaskan jadual pelaksanaan.
Dalam masa sama, aspek keselamatan rantaian bekalan turut menjadi cabaran, khususnya bagi memastikan integrasi lancar antara pengangkutan laut dan darat tanpa mewujudkan kesesakan di terminal pemindahan kontena.
Projek Jambatan Darat itu juga menerima kritikan berkaitan impak alam sekitar terutamanya di kawasan Ranong yang dikenal pasti sebagai zon sensitif ekologi dengan hutan bakau dan biodiversiti penting.
Secara keseluruhan, pakar menegaskan bahawa kejayaan projek ini bukan sahaja bergantung kepada pembinaan fizikal semata-mata, tetapi juga kepada keupayaan Thailand meyakinkan pemain industri global bahawa laluan baharu ini benar-benar lebih efisien, stabil dan berdaya saing berbanding laluan sedia ada di rantau ini.
Info
Projek Jambatan Darat Thailand
>Projek ini menghubungkan Teluk Thailand dan Laut Andaman melalui laluan darat.
>Ia melibatkan pembinaan dua pelabuhan utama di Ranong dan Chumphon.
>Kedua-dua pelabuhan dihubungkan oleh laluan darat sekitar 90 kilometer.
>Tujuannya ialah sebagai laluan alternatif kepada Selat Melaka.
>Anggaran kos projek mencecah sekitar 1 trilion bath (RM121.5 bilion).
>Projek ini sebahagian daripada Southern Economic Corridor (SEC) Thailand.-Sasaran operasi penuh dijangka menjelang 2030-an.



