Aidil pertahan Ramadhan, bangga semangat The Cats

Aidil pertahan Ramadhan, bangga semangat The Cats

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak enggan menjadikan kegagalan Ramadhan Saifullah menyempurnakan sepakan penalti sebagai punca kekalahan pasukannya kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), kelmarin.

Sebaliknya, pengendali dari Singapura itu memilih untuk melihat daripada sudut perjuangan anak buahnya secara lebih positif dan menyifatkan Kuching City telah memberikan tentangan sengit biarpun tewas 0-2 kepada juara Liga Super berkenaan.

Aidil mengakui kecewa dengan keputusan itu, namun tetap berbangga dengan komitmen dipamerkan pemain yang disifatkan bekerja keras sepanjang 90 minit untuk memberi saingan kepada pasukan terbaik Liga Malaysia.

“Saya rasa pemain sudah memberikan yang terbaik malam ini. Mereka bekerja keras dan menunjukkan perlawanan ini sebenarnya seimbang walaupun menentang pasukan kuat seperti JDT.

“Kalau kita lihat semula, kami juga mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol,” katanya.

Menurut Aidil, beberapa pemain termasuk penyerang import, Jerome Etame turut mempamerkan aksi positif apabila berjaya mencipta ancaman di kubu Harimau Selatan, namun nasib tidak memihak kepada pasukannya untuk menghasilkan jaringan.

Menyentuh mengenai kegagalan Ramadhan menyempurnakan sepakan penalti yang berpotensi mengubah momentum perlawanan, Aidil menegaskan situasi itu adalah lumrah dalam bola sepak dan tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada seorang pemain sahaja.

“Pemain terbaik dunia pun boleh gagal menyudahkan penalti. Jadi saya tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam situasi itu.

“Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya dan bagi saya musim ini tetap sesuatu yang menakjubkan buat pasukan.

“Pemain sudah bekerja keras sepanjang musim untuk sampai ke tahap ini dan saya melihat semua yang mereka lakukan secara positif,” ujarnya.

Meskipun gagal membawa pulang trofi, pencapaian Kuching City mara ke final Piala Malaysia tetap dianggap luar biasa dan menjadi petanda jelas bahawa The Cats kini semakin berkembang sebagai antara pencabar baharu dalam bola sepak tempatan. – UTUSAN

Scroll to Top