KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pakar motivasi, Datuk Fazley Yaakob memaklumkan dia dan anaknya, Fariedz Fazley kini bernaung di bawah sebuah syarikat rakaman antarabangsa Indonesia.
Tidak mendedahkan identiti syarikat rakaman tersebut, Fazley memberitahu dia dan Fariedz bakal diletakkan sebumbung bersama artis Indonesia popular.
“Yang mendoakan Payish (Fariedz) dan saya sebagai artis terbaharu di bawah syarikat antarabangsa Indonesia, terima kasih banyak!
“Benar, kami berdua kini di bawah satu bumbung dengan Tulus dan Nadhif Basalamah, nantikan,” katanya menerusi hantaran dalam Threads.
Fazley atau nama sebenarnya Datuk Dr. Chef Ahmad Fadzli Yaakob dalam pada itu berterima kasih kepada mereka yang menyokong perjalanan Fariedz dalam rancangan Talk To My Manager (TTMM2).
Katanya, meskipun ramai yang mempertikaikan penyingkiran fariedz dalam program tersebut, dia tetap bersyukur atas sokongan yang ditunjukkan kepada anaknya.
“Ramai sahaja yang mempertikaikan Payish terkeluar. Tetapi yang memuji, menyokong dan bercakap Payish keluar secara bermaruah, lagi ramai.
“Ramai yang menjadi penyokong tegar. Terima kasih engkau orang. Harapan saya agar tetap menyokong anak-anak TTMM yang lain,” ujarnya.




