
Pemenang kasut emas Liga A1 Semi Pro, Mbraga (dua dari kanan) memberi bayangan sedia kekal menabur bakti bersama KRW FC untuk mengharungi saingan Liga M musim hadapan.
PEMENANG kasut emas Liga A1 Semi Pro, Emmanual Mbraga memberi bayangan sedia kekal menabur bakti bersama Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.
Mbraga berkata, semua itu bergantung kepada hasil perbincangan antara beliau dengan pihak pengurusan pasukan nanti.
“Saya ada menerima tawaran kontrak baharu, jadi….perkara itu masih dalam perbincangan.
“Sama ada kekal atau berhijrah…saya masih belum tahu, tetapi kami masih dalam perbincangan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Kelantan Red Warrior FC di sini pada malam Ahad.
Pada majlis tersebut Mbarga yang muncul sebagai penjaring terbanyak Liga A1 Semi Pro musim ini turut menerima anugerah kasut emas dari Liga Bola Sepak Amatur (AFL).
Sepanjang saingan liga musim ini Mbarga mencetak 32 gol sekali gus memadam rekod Fakrul Zaman Abdullah Zawawi pada 2019 lalu.
Mengulas lanjut mengenai anugerah itu, Mbarga mengakui gembira dan tidak percaya sehingga mampu merangkul anugerah tersebut.
Katanya, peringkat awal dia hanya mempunyai sasaran satu atau dua gol sahaja.
“Saya mula menjaringkan banyak gol kerana mempunyai pasukan dan rakan sepasukan yang baik.
“Sebelum ini saya tidak mengejar gelaran penjaring terbanyak, tetapi ia datang sendiri kepada saya hasil bantuan seluruh pasukan.
“Jadi saya sangat gembira dan berterima kasih kepada seluruh pasukan, jurulatih, staf, presiden dan semua orang,” katanya.



