Pelakon Amyza Aznan, 50, bersama anak keduanya, Adrian Adam, 18, melahirkan rasa syukur apabila impian mereka untuk menunaikan ibadah umrah akhirnya menjadi kenyataan selepas menerima tajaan daripada seorang individu yang mahu dirahsiakan identitinya.
Terima hadiah umrah

Memetik laporan Berita Harian, Amyza memaklumkan, khabar gembira itu hadir pada saat yang cukup bermakna buat keluarganya, dan disifatkan sebagai rezeki serta anugerah besar yang tidak pernah dijangka.
“Ini berita manis sempena Hari Raya Haji. Hadiah ini rasanya lebih mahal daripada yang lain,” kata Amyza, baru-baru ini.
Menurut Amyza, peluang menunaikan umrah itu ditawarkan oleh pemilik sebuah syarikat pelancongan semalam selepas beliau melihat satu hantaran di media sosial yang dibuat oleh seorang jurusolek berkaitan impian dia dan anaknya yang mahu ke Tanah Suci.
Katanya, individu tersebut tersentuh selepas membaca perkongsian itu dan berhasrat untuk menjadi asbab merealisasikan impian mereka ke Tanah Suci.
Amyza turut berkata, anaknya sudah lama menyimpan impian untuk ke Makkah, lebih-lebih lagi selepas disahkan menghidap kanser tulang sebelum ini.

“Adrian memang teringin sangat nak pergi umrah. Dia pernah cakap perkara itu ketika awal dia didiagnos, dia nak berdoa di sana.
“Tapi dia tak pernah kongsi di media sosial, hanya dalam kalangan keluarga sahaja,” jelasnya.
Tambahnya, jurusolek berkenaan dipercayai mengetahui hasrat itu selepas melihat Adrian menunaikan solat di rumahnya, sebelum perkara tersebut sampai kepada pengetahuan pemilik syarikat pelancongan.
Artikel lain: Saya nampak kuat tapi jauh di sudut hati hanya Tuhan yang tahu – Amyza Aznan

“Saya tak tahu bagaimana dia dapat ‘instinct’ itu. Mungkin selepas melihat Adrian solat di rumahnya,” tambahnya lagi.
Amyza berkata, selepas video dan kapsyen berkaitan dikongsikan, hati individu berkenaan terbuka untuk menaja perjalanan mereka ke Tanah Suci.
Sumber: Berita Harian (Fatin Farhana Ariffin)




