'Joyah' dah jadi terkenal sekarang

'Joyah' dah jadi terkenal sekarang

am@hmetro.com.my

Alor Setar: “Joyah dah jadi terkenal sekarang sejak kisahnya disiarkan dalam akhbar ini malah hinggakan ada kenalan dari Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang hubungi saya terkejut dan berhasrat nak datang ke Langkawi sebab nak jumpa Joyah.

“Memang rezeki Joyah, ia haiwan yang sangat unik malah dah jadi terkenal di kampung ini,” kata Emi Malisa Yon, 41.

Menurutnya, dia dan suaminya, Mohammad Shukri Razali, 38, juga tidak menyangka kambing peliharaan mereka yang diberi nama Joyah Aspalela Asparagus itu kini menjadi terkenal secara tiba-tiba selepas kisahnya disiarkan di akhbar dan televisyen kumpulan Media Prima, sejak kelmarin.

Emi Malisa berkata, dia dan Joyah turut menunggu waktu siaran berita televisyen TV3 dan TV9 selain membeli akhbar Metro Ahad untuk melihat gambar Joyah.

“Saya agak terkilan membaca komen negatif di media sosial yang memberi pelbagai tanggapan kerana saya menjaga Joyah.

“Walaupun ia hanya seekor haiwan tetapi Joyah sangat baik dan manja dengan saya dan suami. Ia juga makhluk Allah, jadi tak salah saya memeliharanya dan sayang seperti anak sendiri kerana kami tidak mempunyai anak.

“Lepas tu saya tak baca komen langsung sebab nak jaga hati sendiri dan biarlah warga net nak tulis apa pun, saya terima dengan hati terbuka.

“Namun saya doakan semuanya baik-baik saja dan saya akan tetap menjaga Joyah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro sebelum ini menyiarkan kisah sepasang suami isteri di Tepi Masjid, Kelibang di Langkawi sanggup memelihara seekor kambing betina berusia tujuh bulan dalam rumah seperti anak sendiri kerana tidak mempunyai anak walaupun 11 tahun berkahwin.

Kambing itu turut dipakaikan lampin pakai buang, diberi susu serta memakai gaun kanak-kanak berusia dua tahun.

Lebih unik lagi, setiap hari Joyah akan menghabiskan waktunya bermain dengan 20 ekor kucing peliharaan Emi Malisa selain tidur di dalam rumah bersama rakan-rakannya itu setiap hari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top