Angeles City: Jumlah kematian akibat runtuhan bangunan dalam pembinaan di Bandar Angeles, Pampanga, Filipina meningkat kepada empat orang semalam, dengan belasan lagi masih hilang.
Dua pekerja yang tersepit di bawah runtuhan ditemui masih hidup selepas struktur sembilan tingkat itu runtuh pada Ahad, namun mereka disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan.
Runtuhan bangunan itu turut menjejaskan sebuah hotel berdekatan hingga mengorbankan seorang rakyat Malaysia.
“Dua pekerja yang pertama dibawa keluar dalam keadaan masih bernyawa, tetapi malangnya mereka tidak dapat diselamatkan. Doktor sudah cuba menyelamatkannya,” kata jurucakap biro bomba wilayah, Maria Leah Sajili.
Menurutnya seorang lagi mangsa mengalami serangan jantung pada jam 3 pagi.
“Doktor tidak dapat merawatnya kerana dia masih tersepit (dalam runtuhan),” tambahnya.
Kru penyelamat mengeluarkan mayat lain daripada runtuhan pada semalam, namun masih belum dipastikan sama ada mangsa tersenarai antara orang hilang, kata penyelamat dalam jumlah yang dikemas kini.
Disebabkan ketidakpastian itu, pihak berkuasa berkata, kira-kira 17 orang lagi masih dianggap hilang, kebanyakannya pekerja binaan yang sedang tidur di tapak pembinaan ketika bencana berlaku.
Sementara itu, Lea Casilao, teman wanita seorang pekerja binaan yang hilang, berkata kepada AFP bahawa dia menaiki bas dari rumahnya di utara Manila ke Angeles pada Ahad sambil membawa nasi dan makanan dalam tin untuk teman lelakinya, tanpa mengetahui mengenai kemalangan yang berlaku awal pagi tadi.
“Sangat sukar (menerima tragedi itu). Hati saya hancur menunggu sesuatu yang tidak pasti,” kata Casilao yang berusia 47 tahun.
Stephanie Batar dan ibunya, Noby pula berkata, hanya mengetahui kemalangan itu melalui media sosial dari rumah mereka di wilayah Bulacan pada awal pagi Isnin.
Katanya, dia juga gagal menghubungi bapanya, 64, yang bekerja di tapak pembinaan itu untuk tempoh enam bulan.
“Ia sangat menyakitkan dan kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya sambil mengenang nasib bapanya yang baru beberapa minggu bekerja.
Punca keruntuhan itu masih belum diketahui, namun Pengarah Jabatan Buruh Serantau, Geraldine Panlilio berkata, tapak projek itu pernah ditutup sementara pada September 2024 kerana melanggar piawaian keselamatan pekerjaan.
“Pemeriksa buruh kami telah memantau keadaan kerja yang buruk, satu pelanggaran yang akan membahayakan pekerja kami,” katanya dalam satu temu bual melalui stesen radio Manila DZMM.
Pekerja pembinaan kekurangan peralatan keselamatan seperti topi keras, but, tali pinggang keselamatan dan talian hayat, dan bekerja di bawah pencahayaan yang kurang baik dan tanpa papan tanda keselamatan yang boleh dilihat, tambahnya.
Pembinaan disambung semula sebulan kemudian selepas kontraktor bangunan mematuhi keperluan, kata Panlilio.
Pegawai berkata sehingga ini terdapat 70 orang bekerja di tapak pembinaan itu, walaupun kebanyakannya telah pulang ke rumah pada hujung minggu.
Alfredo Albis, 55, memberitahu AFP bahawa dia sedang tidur di berek pekerja kira-kira lima meter dari struktur itu apabila ia runtuh.
“Saya mempunyai dua orang sepupu yang masih terperangkap di sana. Mereka bekerja di sini untuk mencari nafkah buat keluarga mereka dan (mereka) hilang,” katanya.
Sajili, jurucakap biro bomba berkata, operasi menyelamat itu sangat mencabar kerana sebarang perubahan mendadak yang dicetuskan oleh pergerakan penyelamat boleh menyebabkan sisa runtuhan bergerak dan orang di bawahnya tertekan.
Jika tiada lagi mangsa yang terselamat ditemui selepas pencarian dengan pengimbas haba, penggali mekanikal dan peralatan berat lain akan dibawa masuk untuk membersihkan serpihan dan mencari mayat, katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




