Ecuador: Nelayan di sepanjang pantai Pasifik Amerika Latin berdepan krisis hasil tangkapan merosot berikutan peningkatan suhu lautan akibat fenomena El Nino yang memaksa spesies ikan seperti tuna dan ancoi berpindah ke perairan lebih sejuk.
Dari Ecuador dan Peru di Amerika Selatan hingga ke Panama dan Guatemala di Amerika Tengah, sesetengah jurumudi bot memilih untuk tidak turun ke laut selepas stok ikan berhampiran pesisir semakin berkurangan berikutan suhu laut meningkat sehingga enam darjah Celsius berbanding paras biasa.
“Air laut terasa panas,” kata Juan Ollague, 56, kepada AFP di pelabuhan Santa Rosa, barat daya Ecuador, di mana ratusan bot nelayan kelihatan tersadai berikutan tiada aktiviti menangkap ikan.
Selepas semalaman berada di laut, Ollague hanya pulang dengan membawa enam ekor tuna kecil.
“Kami pulang dengan tangan kosong,” katanya meluahkan rasa kesal.
Rakannya, Darwin Zambrano, 53, turut meluahkan kekecewaan sambil merungkaikan jaring yang sudah beberapa minggu tidak menangkap tuna saiz besar seperti albakora atau bonito.
Fenomena El Nino adalah fasa pemanasan dalam kitaran semula jadi di Pasifik Tropika yang menyebabkan cuaca lebih panas dan kering di sesetengah kawasan, manakala sebahagian lagi menerima cuaca lebih sejuk dan basah.
Gangguan fenomena super El Nino tahun ini yang dijangka mencapai kemuncak lewat tahun ini sudah mula menjejaskan Amerika Tengah apabila bencana kemarau mengancam hidupan liar serta merosakkan tanaman.
Menurut Balai Cerap Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah, purata suhu permukaan laut tidak termasuk kawasan kutub mencatatkan 21.07 darjah Celsius pada Ogos lalu, sekali gus menyamai rekod tertinggi pada Mac 2024.
Pakar Oseanografi dari Universiti Politeknik Guayaquil, Jonathan Cedeno yang mengetuai misi mengukur suhu berkenaan berkata, purata suhu permukaan laut di pesisir Ecuador meningkat antara 2.5 darjah Celsius hingga 3 darjah Celsius di permukaan dan sehingga 6 darjah Celsius pada kedalaman 40 meter dalam tempoh 10 minggu lalu.
Sementara itu di pesisir Pasifik Panama, Rigoberto Gonzalez berkata, dia kini terpaksa berlayar lebih jauh dari pantai untuk mencari rezeki.
Keadaan itu menyebabkan kos bahan api, bekalan makanan dan ais bagi mengawet ikan di atas bot kecilnya semakin meningkat.
“Kami keluar dengan bahan api bernilai USD100 (kira-kira RM440), dan apabila pulang kami memperoleh USD150 (kira-kira RM660) daripada jualan ikan, yang kemudiannya perlu dibahagikan kepada empat pekerja,” kata Gonzalez, 59, ketika ditemui di pantai Veracruz.
Di Bandar Raya Panama, sesetengah nelayan membuat keputusan untuk menghentikan operasi dan membiarkan bot masing-masing kekal berlabuh di pelabuhan.
“Kami tidak boleh terus menanggung kerugian,” kata Ketua Kesatuan Nelayan Skala Kecil Panama, Jesus Morales.
Di Iztapa, Guatemala, Eliseo Ovando, 50, berkata, dia kini memerlukan masa selama tiga hari untuk memperoleh jumlah tangkapan yang dahulunya boleh didapati dalam masa sehari sahaja, selain kesal kerana bantuan kerajaan hanya diberikan kepada syarikat perikanan komersial.
“Syarikat besar menindas golongan kecil,” katanya merujuk kepada kesukaran yang dihadapi nelayan skala kecil seperti dirinya.
Di Peru yang juga pengeluar ancoi terbesar di dunia, sesetengah nelayan terpaksa beralih ke sektor pembinaan bagi menyara keluarga selepas spesies ikan berkenaan semakin sukar ditemukan.
Peniaga, Carlos Nieto, 46, berkata, bekalan yang diterima daripada bot nelayan semakin berkurangan dan terdapat tangkapan yang rosak akibat suhu panas.
Dia kini terpaksa membelanjakan kira-kira USD600 (kira-kira RM2,640) sebulan hanya untuk membeli ais.
Setakat ini, peniaga di Panama belum menaikkan harga jualan kepada pengguna secara mendadak walaupun berdepan peningkatan kos dan penurunan pendapatan.
Namun di Ecuador, yang juga pengeluar tuna kedua terbesar di dunia selepas Thailand, harga ikan mahi-mahi (dorado) dan ikan pedang melonjak dua kali ganda berikutan kekurangan bekalan dikesan di pasaran tempatan.
Di Santa Rosa, penurunan hasil laut itu memberi kesan berantai sehingga menyebabkan penutupan sementara warung makanan di sepanjang pelabuhan.
Pemotong ikan, Francisco Orlando, 37, bimbang dia bakal kehilangan mata pencarian tidak lama lagi.
“Kami berharap nelayan dapat menangkap ikan. Jika ada tangkapan, kami ada kerja. Jika tiada, kami juga tiada pekerjaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




