lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peningkatan sebanyak lapan kali ganda jumlah orang kurang upaya (OKU) autisme yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berbanding 2015 adalah petanda positif tahap kesedaran ibu bapa.
Penyelaras Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Wan Arnidawati Wan Abdullah berkata, peningkatan ketara itu menunjukkan semakin ramai ibu bapa tampil mendapatkan diagnosis dan mendaftarkan anak mereka dengan JKM demi memastikan golongan terbabit menerima sokongan sewajarnya.
“Peningkatan lapan kali ganda sejak 2015 memang boleh dilihat sebagai petanda positif bahawa kesedaran ibu bapa terhadap autisme semakin meningkat.
“Ia bukan semata-mata mencerminkan peningkatan kes autisme, sebaliknya lebih ramai ibu bapa kini lebih berani, lebih tahu dan lebih proaktif mendapatkan diagnosis serta mendaftarkan anak mereka dengan JKM,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga UPM berkata, tanda awal autisme boleh dikesan seawal usia 12 hingga 18 bulan, walaupun ada kanak-kanak hanya menunjukkan ciri lebih ketara ketika berusia dua hingga tiga tahun.
Menurutnya, antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah kelewatan pertuturan atau komunikasi, kurang memberi respons apabila nama dipanggil, kurang kontak mata dan sukar berinteraksi dengan orang lain.
Selain itu, katanya, tingkah laku berulang seperti mengepak tangan, terlalu bergantung kepada rutin tertentu serta sensitiviti melampau terhadap bunyi, cahaya dan sentuhan juga antara petunjuk awal autisme.
“Ada juga kes kanak-kanak kehilangan kemahiran pertuturan atau sosial yang pernah dikuasai sebelum ini dan ia petanda yang perlu diberi perhatian serius.
“Namun setiap kanak-kanak adalah berbeza dan tanda-tanda ini bukan diagnosis muktamad.
“Jika ibu bapa merasakan ada sesuatu yang tidak kena, percayalah naluri itu dan dapatkan penilaian profesional dengan segera,” katanya.
Wan Arnidawati berkata, pengesanan serta intervensi awal mampu memberi impak besar terhadap perkembangan jangka panjang kanak-kanak autisme terutama dari segi komunikasi, tingkah laku dan kemahiran sosial.
Mengulas kebimbangan ibu bapa untuk mendapatkan diagnosis rasmi, beliau berkata, ramai masih takut anak dilabel, dipinggirkan atau dipandang rendah oleh masyarakat.
Katanya, ada juga ibu bapa yang berharap anak akan membesar seperti biasa tanpa intervensi selain berdepan tekanan keluarga yang meminta mereka ‘menunggu dahulu’ daripada mendaftar dengan JKM.
“Mendapatkan diagnosis rasmi terasa seperti menutup pintu kepada harapan bagi sesetengah ibu bapa.
“Tetapi mendapatkan diagnosis bukan bermakna menyerah kalah, sebaliknya langkah pertama untuk memahami anak dan memberi sokongan paling tepat,” katanya.
Wan Arnidawati berkata, persepsi negatif terhadap pendaftaran kad OKU juga perlu diubah kerana ia bukan label memalukan, sebaliknya pengiktirafan terhadap keperluan sokongan anak.
Katanya, pendaftaran dengan JKM membolehkan keluarga mendapat akses kepada pelbagai bantuan termasuk intervensi awal dan terapi bersubsidi, kemudahan pendidikan khas, biasiswa serta perlindungan di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008.
“Kad OKU tidak menutup pintu masa depan anak, sebaliknya membuka lebih banyak peluang.
“Autisme bukan penyakit, tetapi keadaan perkembangan yang memerlukan kefahaman dan sokongan sesuai.
“Ramai individu autisme berjaya dalam pendidikan, pekerjaan dan kehidupan apabila mendapat sokongan tepat sejak awal,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dilaporkan berkata, jumlah pendaftaran OKU autisme di bawah JKM meningkat sebanyak lapan kali ganda kepada 90,459 orang setakat 30 April lalu berbanding 2015.
Katanya, peningkatan angka berkenaan dipercayai ekoran keberkesanan program dan kempen kesedaran berkaitan autisme dalam kalangan ibu bapa yang giat dilaksanakan kerajaan menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




