AME Elite catat untung bersih RM284 juta

AME Elite catat untung bersih RM284 juta

PETALING JAYA: AME Elite Consortium Berhad (AME Elite) mencatatkan prestasi kewangan luar biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 apabila untung bersih melonjak 208.4 peratus kepada RM284 juta berbanding RM92.1 juta pada tahun sebelum ini.

Rekod keuntungan bersih tertinggi itu didorong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap hartanah industri dan jualan tanah strategik, selain disokong oleh keuntungan nilai saksama bersih sebanyak RM65.9 juta hasil peningkatan nilai portfolio hartanah pelaburan kumpulan.

Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AME Elite, Dylan Tan Teck Eng berkata, syarikat akan terus fokus untuk mengekalkan momentum pertumbuhan tersebut bagi melangkah ke tahun kewangan 2027.

“Pertumbuhan kami akan dipacu oleh projek taman industri di Johor, pembangunan progresif Northern TechValley @ BKE di Pulau Pinang, serta projek i-Park @ Coalfields di Selangor yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion.

“Selain itu, bahagian pembinaan dan kejuruteraan kami turut memperkukuh prospek syarikat dengan nilai tempahan kontrak luaran yang sihat berjumlah RM557.5 million, di samping terus menyokong pembangunan domestik taman industri kami sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Susulan pencapaian cemerlang tersebut, penyedia penyelesaian ruang industri bersepadu itu mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 4.0 sen serta dividen khas sebanyak 3.0 sen sesaham, sekali gus membawa jumlah keseluruhan dividen bagi tahun kewangan 2026 kepada 13.0 sen sesaham.

Selari dengan prestasi itu, hasil bagi keseluruhan tahun kewangan 2026 turut berkembang 59.4 peratus kepada RM970.0 juta berbanding RM608.6 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi prestasi suku keempat pula, hasil kumpulan meningkat 61.6 peratus kepada RM186.8 juta manakala untung bersih melonjak 122.0 peratus kepada RM81.1 juta berbanding RM36.5 juta bagi suku sama sebelum ini.

Segmen pembangunan hartanah kumpulan muncul sebagai penyumbang utama apabila hasilnya meningkat 162.8 peratus daripada RM240.4 juta kepada RM631.6 juta, dibantu oleh kemajuan rancak kerja pembangunan serta jualan tanah kepada pusat data.

Sementara itu, bahagian pelaburan dan pengurusan hartanah turut mencatatkan pertumbuhan pendapatan berulang sebanyak 10.0 peratus kepada RM80.7 juta, hasil penyewaan industri baharu serta pendapatan sewa yang stabil daripada asrama pekerja.

AME Elite turut memperluas kapasiti portfolio asrama pekerja miliknya di i-TechValley kepada lebih 9,000 katil bagi memastikan asas pendapatan berulang kumpulan kekal mampan dan stabil untuk jangka panjang. – UTUSAN

Scroll to Top