
Sebelum ini, 21 AJK PKR Shah Alam bersama sebahagian besar pimpinan termasuk wanita mengumumkan peletakan jawatan dan pengunduran daripada parti berkuat kuasa serta-merta. Gambar kecil: Mohd Khairool
SHAH ALAM – Tindakan segelintir anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti dan meletakkan jawatan untuk menyertai parti baharu tidak melemahkan parti itu.
Ketua Penerangan PKR Kuala Langat, Mohd Khairool Ngadon berkata, situasi berkenaan sebaliknya merupakan sebahagian daripada proses pembersihan dalaman parti.
Malah menurutnya, parti itu kini bergerak lebih jelas tanpa kelompok yang masih gagal menerima kekalahan dalam pemilihan parti sejak setahun lalu.
“Yang kekal bersama hari ini ialah mereka yang benar-benar memahami roh perjuangan reformasi, bukan sekadar menumpang nama ketika selesa.
“Proses ini bukan asing kerana ia pernah berlaku ketika Langkah Sheraton apabila parti diuji dan akhirnya dibersihkan daripada kelompok yang lebih mementingkan kedudukan berbanding prinsip perjuangan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, 21 ahli jawatankuasa (AJK) PKR Shah Alam bersama sebahagian besar pimpinan termasuk wanita mengumumkan peletakan jawatan dan pengunduran daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Mereka menjelaskan, keputusan itu dibuat ekoran hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti dan ketua cabangnya, Najwan Halimi.
Dalam pada itu Mohd Khairool mendakwa, parti baharu yang ditubuhkan juga dilihat tidak membawa agenda besar untuk membangunkan negara.
Beliau menegaskan, sekiranya perjuangan mereka benar-benar demi masa depan Malaysia, parti berkenaan sepatutnya bertanding di semua 222 kerusi Parlimen dan bukannya hanya memilih kawasan tertentu.
“Hakikatnya, ini bukan perjuangan rakyat tetapi dendam kesumat yang cuba disolek sebagai agenda perubahan.
“PKR Kuala Langat akan terus istiqamah bersama perjuangan reformasi dan Kerajaan Madani demi kestabilan, kemajuan serta masa depan rakyat Malaysia,” ujarnya.



