
Anggota penyelamat mengusung mayat pelancong yang maut selepas terjatuh dari jambatan gantung di kawasan Air Terjun Cunca Wulang di pulau Flores, Indonesia. Foto Maumera Basarnas Doc.
JAKARTA – Dua pelancong warga Austria maut selepas terjatuh dari jambatan gantung setinggi kira-kira 20 meter di kawasan Air Terjun Cunca Wulang di pulau Flores, Indonesia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pihak berkuasa pada Isnin memaklumkan kejadian berlaku apabila papan kayu lantai jambatan itu patah ketika kedua-dua mangsa melintas, menyebabkan mereka terjatuh ke dalam sungai di bawah jambatan berkenaan.
Kawasan itu merupakan destinasi pelancongan popular yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari pusat peranginan Labuan Bajo.
Mayat lelaki berusia 55 tahun dan wanita berusia 57 tahun itu ditemukan pada Ahad, menurut ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Fathur Rahman.
Pemandu pelancong pasangan itu memberitahu portal berita Hey Bali News bahawa beberapa papan kayu lantai jambatan itu tiba-tiba patah ketika mangsa melintas.
“Mereka berjalan beriringan sambil tersenyum ke arah kamera,” katanya kepada pemberita.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi kayu patah yang sangat kuat, seperti dahan pokok besar tumbang.”
Dalam tempoh beberapa saat, beberapa papan lantai jambatan patah menyebabkan kedua-dua pelancong itu terperosok dan jatuh kira-kira 20 meter ke sungai di bawah.
Foto yang disiarkan media tempatan menunjukkan satu lubang besar pada jambatan gantung itu.
Menurut laporan Hey Bali News, jambatan gantung di kawasan pedalaman Indonesia lazimnya dibina menggunakan bahan tempatan dan tidak diperiksa secara berkala.
Kemalangan maut di lokasi tarikan semula jadi terpencil bukan sesuatu yang luar biasa di Indonesia. Pada Disember lalu, empat daripada enam anggota sebuah keluarga dari Sepanyol maut selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di perairan Flores. – Bernama-dpa



