redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kalau boleh diputarkan masa, saya tak nak terjebak dengan dadah kerana ia penyebab hidup saya jadi begini sampai buat emak pun menangis.”
Itu kata lelaki dikenali King, 34, ketika berkongsi pengalamannya yang sudah 10 tahun menderita disebabkan dadah selain menghidap HIV dipercayai akibat seks bebas.
King juga pernah ditangkap hingga tiga kali dimasukkan ke dalam penjara dengan dua daripadanya di Sungai Buloh dan satu lagi di Kajang, Selangor akibat kesalahan pengedaran dadah.
Kini, King terpaksa berjauhan dengan keluarga dengan tinggal menyewa bersendirian di sebuah bilik bagi menjalani hukuman buang daerah dan berada di bawah pengawasan Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) selama dua tahun bermula April lalu.
Berkongsi kisahnya, King mengakui pengambilan dadah ketika remaja antara punca dia terjerumus dalam lembah zina seterusnya mendapat HIV.
“Saya mula terjebak dengan dadah ketika berumur 18 tahun. Awalnya kerana terpengaruh dengan kawan dan lama-kelamaan jadi ketagih.
“Ikutkan, saya pernah bekerja sebagai juruwang di kedai serbaneka, penghantar makanan dan penjaga stor, kemudian kawan ajak buat duit lebih dengan jadi ‘pusher’ (pengedar kecilan).
“Malam hujung minggu, saya tak reti duduk rumah kerana suka keluar merempit, kemudian pergi melepak dengan kawan di satu rumah yang jadi ‘port’ (methamphetamine),” katanya kepada Harian Metro.
Kata King, ada beberapa wanita datang ke rumah berkenaan dan di situlah dia berkenalan dengan mereka hingga akhirnya melakukan hubungan seks.
“Bila tengah seronok hisap dadah tapi bosan main telefon dan perempuan pula ada depan mata maka terjadilah hubungan seks walaupun baru berjumpa.
“Setiap minggu, saya bertukar pasangan sampai kawan pun perasan.
“Sehingga satu hari, saya jatuh sakit dan bila dirujuk ke hospital, doktor dapati paru-paru saya dijangkiti kuman sebelum mengesahkan ada tibi dan seterusnya HIV. Emak paling rapat dengan saya dan ingat lagi, dia menangis kerana terlalu sedih bila dapat tahu perkara itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




