Sinergi 3 jenama besar, bawa konsep 'Japanese Living' ke kediaman rakyat Malaysia

Sinergi 3 jenama besar, bawa konsep 'Japanese Living' ke kediaman rakyat Malaysia

Petaling Jaya : SHARP Malaysia mengambil langkah proaktif dalam mentakrif semula landskap gaya hidup kediaman moden menerusi pelancaran “SHARP Japanese Living to My Home Personalised Home Experiences Showcase” di bilik pameran Aatas Living, Jalan Gasing, di sini, baru-baru ini.

Bukan sekadar pameran produk konvensional, inisiatif ini menawarkan satu pengalaman gaya hidup imersif hasil kolaborasi strategik antara SHARP, Aatas Living, dan NITORI.

Sinergi tiga jenama besar ini menggabungkan inovasi teknologi Jepun, reka bentuk dalaman mewah tempahan khas, serta estetika perabot premium dalam satu ekosistem kediaman yang lengkap.

Menurut Naib Presiden BU-Perniagaan Global SHARP, Tomoki Tamura, Asia Tenggara adalah pasaran yang sangat dinamik dengan permintaan kian meningkat terhadap penyelesaian kediaman moden.

“SHARP kekal komited untuk membawa inovasi dan falsafah kehidupan Jepun yang autentik ke pasaran penting ini. Dengan menggabungkan teknologi canggih dan reka bentuk yang teliti, kami berhasrat menyediakan penyelesaian praktikal selari dengan gaya hidup tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SHARP Electronics Malaysia, Ting Yang Chung menjelaskan bahawa menerusi tema ‘Japanese Living to My Home’, SHARP kini sedang berevolusi daripada sekadar jenama barangan elektrik kepada penyedia penyelesaian gaya hidup yang menyeluruh.

Bagi pihak Aatas Living, Pengarahnya, Terry Tay pula meluahkan rasa bangga kerana dapat menyuntik elemen minimalis premium Jepun ke dalam kepakaran reka bentuk kediaman mewah tempahan khas milik mereka, sekali gus mentransformasikan konsep rumah biasa menjadi sebuah karya kehidupan yang eksklusif.

Pengurus Operasi NITORI Malaysia, Maezawa Yuta turut menambah bahawa kolaborasi ini memberikan integrasi menyeluruh yang sangat berfungsi untuk pengguna yang mementingkan keselesaan serta kekemasan rumah.

Antara tarikan utama di pameran tersebut termasuklah zon “Pure White Living” yang mengetengahkan konsep estetik minimalis serba putih, serta gandingan hebat antara penghawa dingin SHARP J-Tech Inverter bersama siri fabrik penyejuk N-COOL daripada NITORI yang menjanjikan suasana rumah yang sentiasa nyaman.

Berbeza dengan pelancaran biasa, pameran eksklusif ini akan dibuka kepada orang ramai selama enam bulan.

Pengunjung bukan sahaja dapat melihat produk secara fizikal, malah boleh memanfaatkan sistem reka bentuk dalaman 3D Jepun milik Aatas Living untuk merancang ruang kediaman impian masing-masing.

Malah SHARP dijangka memperkenalkan platform laman web interaktif 3D bagi membolehkan pengguna menyesuaikan padanan kabinet, reka bentuk dinding, dan gajet rumah SHARP secara maya mengikut cita rasa peribadi sebelum direalisasikan dalam bentuk reka bentuk sebenar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top