Kuala Lumpur: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johormenjadi indikator penting dalam menguji sejauh mana kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu meneruskan kerjasama yang matang dan profesional demi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat tidak terjejas.
Walaupun persaingan politik ketika kempen pilihan raya adalah lumrah dalam sistem demokrasi, penganalisis politik berpandangan sebaik sahaja rakyat membuat keputusan di peti undi, keutamaan perlu beralih kepada usaha memperkukuh tadbir urus dan mempercepat pelaksanaan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Penganalisis politik dan perunding media Datuk Anbumani Balan berkata persefahaman dan kematangan politik itu perlu diutamakan oleh semua pihak dalam menerima apa jua keputusan rasmi PRN Johor demi kelangsungan agenda pembangunan rakyat seterusnya memastikan mandat ‘Bangsa Johor’ terus diberi keutamaan.
Beliau yang juga ketua pegawai eksekutif firma perundingan, Anbu Consultancy menyifatkan senario parti-parti politik bersaing di peringkat negeri tetapi kekal bekerjasama di peringkat Persekutuan sebagai satu norma baharu yang matang.
“Yang menang bukan menang semua, yang kalah bukan kalah semua. Kita meraikan antara satu sama lain kerana BN (Barisan Nasional) dan PH (Pakatan Harapan) ini berada di dalam satu pasukan di peringkat Persekutuan. Walaupun mereka berkawan, tapi di sini (PRN Johor) jadi lawan. Itu adalah model politik baharu, norma baharu. Apa yang pasti kita jaga kestabilan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel jemputan dalam Siaran Khas Keputusan Undi Johor di Bernama TV, malam ini.
Setakat 10.32 malam Sabtu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan BN memperoleh majoriti mudah selepas memenangi 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN Johor ke-16, manakala PH memenangi dua kerusi.
Ramlan berkata parti-parti lain termasuk Perikatan Nasional, Parti Bersama Malaysia, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia, Parti Sosialis Malaysia serta calon Bebas masih belum memenangi sebarang kerusi setakat pengumuman itu.
Keputusan tidak rasmi pula menunjukkan BN menang 48 kerusi manakala PH menang lapan kerusi.
Sementara itu, Pengerusi MADANI Research Centre Dr Madhi Hasan berpandangan sebarang pergeseran yang tercetus sepanjang PRN tidak wajar menjadi penghalang kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk terus bekerjasama secara erat dalam merealisasikan agenda pembangunan serta memenuhi harapan rakyat.
Justeru, pasca PRN Johor ini katanya, semua pihak perlu menunjukkan iltizam politik dengan mengenepikan perbezaan fahaman serta memainkan peranan masing-masing bagi memastikan mandat rakyat diterjemahkan melalui pentadbiran yang berkesan.
“Ia boleh dilakukan dengan menunjukkan komitmen yang lebih untuk bekerjasama terutamanya dalam perkara-perkara melibatkan kepentingan dan bidang kuasa bersama untuk kepentingan rakyat.
“Sebagai contoh dalam isu perumahan, Kerajaan Persekutuan boleh beri insentif melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetapi soal tanah di bawah kerajaan Negeri… pelaksanaan itu melibatkan kerjasama dalam bidang kuasa masing-masing dan ia perlu diselesaikan dengan segera,” katanya.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
© New Straits Times Press (M) Bhd




![[RASMI] PRN Johor: Maszlee menang DUN Puteri Wangsa [RASMI] PRN Johor: Maszlee menang DUN Puteri Wangsa](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/07/12/3579601.webp)