Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin menggesa negara-negara majoriti Islam supaya menandatangani Perjanjian Abraham sebagai sebahagian daripada perjanjian damai dengan Iran.
Langkah itu dibuat sebagai usaha beliau untuk mencapai satu perjanjian besar di Asia Barat selain menggesa negara-negara di rantau berkenaan menyelesaikan pertikaian mereka dengan Israel.
Melalui satu hantaran panjang di media sosial, Trump turut menyenaraikan negara-negara yang terbabit dalam panggilan persidangan bersama beliau pada Sabtu lalu berkaitan usaha menamatkan perang dengan Iran.
“Selepas semua usaha keras dilakukan oleh AS untuk menyatukan situasi yang sangat rumit ini, sepatutnya semua negara ini, sekurang-kurangnya secara serentak menandatangani Perjanjian Abraham,” katanya.
Trump mendedahkan lapan negara yang terbabit dalam perbincangan itu ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Pakistan, Turkiye, Mesir, Jordan dan Bahrain.
Perjanjian Abraham yang dimeterai di bawah pentadbiran Trump pada 2020 mengatur normalisasi hubungan diplomatik antara Israel dengan beberapa negara yang sebelum ini tidak mempunyai hubungan rasmi.
Bagaimanapun, perjanjian itu kekal tidak popular dalam kalangan masyarakat di kebanyakan negara di rantau berkenaan terutamanya kerana ia tidak menangani konflik Israel-Palestin.
Sebelum ini, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman dilaporkan memberitahu Trump pada November 2025 bahawa kerajaan itu terbuka untuk menyertai perjanjian berkenaan dengan syarat terdapat laluan yang jelas ke arah penyelesaian dua negara.
Trump berkata, sebahagian besar negara yang dihubunginya sepatutnya bersedia dan mampu untuk menjadikan penyelesaian dengan Iran ini sebagai satu peristiwa bersejarah yang lebih besar.
Katanya, proses itu sepatutnya bermula dengan menandatangani segera oleh Arab Saudi dan Qatar, manakala negara-negara lain perlu mengikut jejak langkah sama.
Sementara itu, rakan kanan di Carnegie Endowment for International Peace, Aaron David Miller menyifatkan gesaan Trump itu sebagai sangat sukar untuk berjaya disebabkan persaingan serantau antara negara terbabit.
Miller turut memaklumkan bahawa Trump pernah membuat permintaan yang sama susulan perjanjian pada Oktober 2025 antara Israel dan Hamas bagi menamatkan perang di Gaza.
Walaupun Trump mendakwa rundingan dengan Iran berjalan lancar, pihak Iran sebaliknya memberi amaran bahawa mereka masih belum hampir mencapai sebarang persetujuan rasmi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




